Sunday, February 21, 2010

Kisah Air Mata di Stesen R&R Temerloh

Perjalanan pulang ke kampung halamanku kali ini setelah hampir dua bulan meninggalkan keluarga tercinta dengan Abang Long aku menggamit seribu makna dan erti sebagai seorang insan yang diberikan ALLAH dengan pelbagai nikmat yang ke kadang tak mampu di bilang dengan jari.

Singgahan sebentar aku di R&R Temerloh untuk menunaikan solat Asar secara qasar dan makan sementelah baki perjalanan masih jauh benar-benar telah mendidik iman aku.

Tika aku mula hendak berwudu’ datang seorang kanak-kanak lelaki kecil di mana anggaran umurnya sekitar 4-5 tahun mengikut firasat aku lantaran cara bercakap dan perlakuannya duduk di sebelah aku lalu mengambil wudu’ sama. Masya-Allah masih kecil tapi sudah ada kesedaran yang begitu tinggi untuk menunaikan suruhan ALLAH.

Kagum aku bila melihat dia mengambil wudu’ begitu sempurna tidak sepadan dengan umurnya. Kebiasaan pemerhatian ku kanak-kanak yang berada di dalam lingkungan umur sebegini amat sukar untuk berwudu’ secara sempurna lantaran sifat mereka yang tidak faham apa sebenarnya maksud perbuatan mereka itu.

Aku terus memerhatikan kanak-kanak itu sambil berwudu’ sama sehingga selesai wudu’ dia.

Secara tidak langsung aku teringat tika mana sahabatku, Fariq Fitri menceritakan bagaimana dia menyaksikan seorang kanak-kanak lelaki yang masih kecil mengambil wudu’ dengan begitu sempurna di sebuah masjid dalam area Bangi.

Dia berpendapat tidak hairanlah itu kerana mereka tinggal di Bandar Baru Bangi yang terkenal dengan tahap keilmuan yang tinggi.

Seakan sama kisah aku dengan pengalaman sahabat ku ini kerana secara tidak langsung ia memberi petunjuk yang jelas bahawa didikan agama pada peringkat awal itu TERAMAT penting dalam melahirkan generasi ulul albab dan modal insan yang bermutu tinggi. Alangkah beruntungnya ibu bapa yang mempunyai zuriat semacam ini fikir ku.

Habis berwudu’ kanak-kanak itu tadi terus mendapatkan ayahnya yang berada di sejadah untuk solat Asar secara qasar. Terus terang aku mula tahu apa itu solat qasar dan jama’ adalah ketika aku berumur 12 tahun. Itu pun dalam keadaan samar-samar dan tidak jelas.

Tapi kanak-kanak itu cukup hebat pabila ayahnya cakap, “Kita solat qasar Asar 2 rakaat.” Dia mengangguk tanda faham dan meneruskan solat berimankan ayahnya.

Aku terpegun seketika lantas perlahan-lahan berdoa agar ALLAH mengurniakan zuriat sebegini kepada ku nanti. Cukup beruntung ibu bapa kanak-kanak tersebut dan pastilah ganjaran yang begitu besar menanti mereka di Akhirat kelak lantaran kejayaan mereka mendidik zuriat yang diamanahkan kepada mereka itu.

Memang itu bukan kayu pengukur segalanya namun ia mampu menjadi indicator yang terbaik untuk melihat sejauh mana kehebatan ibu bapa mereka mendidik anak-anak mereka. Melentur buluh biarlah dari rebungnya memang satu pepatah Melayu yang bertepatan dengan situasi yang aku alami tadi.

Moga-moga ALLAH meletakkan kita dalam golongan yang sentiasa diberi kebaikan olah ALLAH SWT. Itulah air mata kesyukuran kerana ALLAH telah memperlihatkan kebesaran-Nya pada sesiapa yang dikehendakinya.

Selesai solat aku terus pergi ke restoran berhampiran untuk membeli makanan dan melihat Abang Long ku turut berada di situ sedang menikmati air Nescafé. Aroma gulai lemak cili padi ikan patin dengan tempoyak benar-benar membuka selera ku pada petang tadi biarpun harganya agak mahal.

Aku duduk bersama Abang Long ku sambil menikmati makanan tadi dan fikiran ku turut merayau entah ke mana menggamit segala memori lama. Bila Nescafé nya habis Abang Long ku terus minta diri untuk pergi solat Asar sementelah aku menghabiskan makanan ku.

Di tengah keenakan aku menikmati gulai lemak cili padi itu datanglah seorang lelaki berumur pertengahan membawa anak lelaki kecilnya lalu dia meletakkan anaknya itu di sebelah aku dan pergi membeli air.

Aku perasan tika mana anak lelakinya yang dipimpin itu berjalan dalam keadaan yang tidak sempurna namun wajahnya cukup comel dan manis untuk dipandang menyebabkan hatiku berdetak mengatakan bahawa ini adalah kanak-kanak istimewa.
Sayu seketika mengenangkan betapa tabahnya hati seorang bapa dan seorang ibu yang menerima kelahiran anak mereka dalam keadaan sebegitu.

Ditakdirkan ALLAH kanak-kanak istimewa itu terlanggar siku aku tika aku tengah makan dan dalam keadaan bersusah payah dia cuba melafazkan perkataan “sorry’ padaku.

Jujur betapa hampir menitis air mata ku bila mendengar kanak-kanak itu cuba meminta maaf padaku meskipun dalam keadaan teramat sukar untuknya menyebutkan bait “sorry” itu. Selera makan ku terus hilang langsung lantaran rasa bersalah pada kanak-kanak itu sambil mengenangkan nasib dia.

Mulia sungguh hatimu wahai adik…

Aku melihatnya sambil menjawab “Tak da apa-apa adik...”

Dia terus merenung aku menyebabkan aku makin rasa bersalah. Oh tuhan, Maha Suci engkau dari segala kekurangan.

Selera ku terus mati dan aku berpaling dari melihat wajah kanak-kanak lelaki itu kerana tidak sanggup melihat dia begitu teruji. Sekali lagi fikiran ku menerawang mencari kenangan tika mana aku menjadi “pengasuh” kanak-kanak istimewa semasa aku di Tingkatan 2 di sebuah kelas Pendidikan Khas hampir setahun lamanya di sekolah lamaku.

Aku bekerja di situ tanpa apa-apa bayaran cuma sekadar mahu membantu Cikgu Adli yang begitu baik padaku selama ini. Pengalaman berada bersama dunia mereka amat mencabar emosi aku terutamanya walaupun aku sekadar mengajar mereka mengenal abjad dan nombor.

Ya, jika seorang cikgu yang tugas dia hanya mendidik dan dia sudah berada dalam keadaaan tertekan cuba bayangkan bagaimanakah perasaan ibu bapa kanak-kanak tersebut dalam usaha menerima kehadiran itu sebagai satu amanah dan memikirkan ketidakupayaan mereka membina masa depan sendiri pabila ibu bapa mereka sudah tidak ada lagi di dunia ini.

Tapi sesungguhnya perancangan ALLAH itu jauh lebih dahsyat dari apa yang kita sangka kan dan PERCAYALAH.

Pasti dan pasti setiap ketentuan ALLAH itu ada kebaikannya tersendiri. Cuma kita diminta untuk berfikir dan berfikir. Moga ALLAH memberi kekuatan keimanan dan ketakwaan kepada ibu bapa kanak-kanak lelaki istimewa itu tadi.

Aku turut terfikir macam manalah jika ALLAH mentakdirkan ujian itu berlaku di atas diriku nanti. Mampu kah aku menghadapi dan menerimanya dengan penuh rasa keimanan kepada-Nya?

Hanya IMAN mampu menjawab tika itu….moga-moga ALLAH memelihara kita dari ujian sebegitu.

Aku berjaya menahan air mata ku daripada menitis lantaran rasa bersalah dan sedih memikirkan si kecil itu menghadapi satu ujian yang berat. Akulah orang yang paling malang jika aku gagal untuk mensyukuri segala kesempurnaan sifat yang ALLAH kurniakan kepada ku ini untuk digunakan bagi melangsai segala amanah yang ALLAH taklifkan di atas bahu ku.

Ya ALLAH kau ampuni lah segala dosa hamba-Mu ini yang sering alpa untuk mensyukuri segala kurnia-Mu itu…

Aku pulang pada petang itu dengan penuh rasa syukur kerana DRAMA yang ALLAH sajikan untuk ku seketika di Stesen R&R sebentar tadi telah, menyedarkan aku akan kesalahan dan kesilapan aku selama ini. Hidayah ALLAH itu disampaikan dalam pelbagai cara. Kita hamba-Nya memang tidak mampu memikirkan kesemua itu.

Pengakhiran tinta, aku menyeru pada diriku sendiri dan sahabat-sahabat semua agar kita sentiasa memanjatkan kesyukuran kepada ALLAH SWT kerana sesungguhnya nikmat ALLAH itu tidak mampu dan mustahil pada namanya untuk di bilang.

Kadang kala kita merasakan bahawa kita adalah yang “terburuk” tapi sedarlah bahawa kita masih lagi beruntung berbanding mereka yang jauh lebih hebat ALLAH meletakkan ujian-Nya kepada mereka…..