Sunday, February 28, 2010

Muhammad SAW: Genius & Ideal (Bahagian 3)

Kisah cinta itu terus subur dan mekar. Dalam kegawatan jiwa menyaksikan kebobrokan masyarakat sekitar. Dan ingatlah ketika ALLAH SWT berfirman,
“Ya tuhan kami, utus lah untuk mereka seorang Rasul dari kalangan mereka yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat Engkau dan mengajar kepada mereka al-Kitab (al-Quran) dan hikmah serta menyucikan mereka. Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana” 
Surah al-Baqarah: 129
Insan GENIUS ini lantas menunjukkan kehebatan fikirannya lantaran petunjuk dari ALLAH dalam melayan kerenah manusia-manusia yang rendah moral di sekelilingnya. Tika usianya mencecah 35 tahun dan bah besar melanda Makkah lalu menghentam kuat dinding Kaabah yang sudah uzur dimamah usia itu. Kesannya hampir merobohkan struktur bangunan itu sendiri.

Tau pula mereka para musyrikin ini akan betapa kotornya mereka yang terlibat dengan riba, judi dan segala yang kotor itu. Ingatkan memang dah tak sedar diri pasal jahil tukil. Semuanya takut nak perbaiki Kaabah bimbang dosa yang mereka lakukan selama ini akan membuahkan BALA jika mereka cuba membangunkan rumah ALLAH itu dengan hasil mereka sendiri. Jadinya terpaksalah mereka mencari “golongan” manusia yang bersih sifatnya.

Namun bila mana al-Walid bin al-Mughirah al-Mukhzumi mula merobohkan sebahagian tembok Kaabah yang telah runtuh itu lalu disaksikan mereka bahawa tidak ada apa-apa bala menimpa, mereka terus merobohkan semua struktur yang lama itu sehingga yang tinggal hanyalah tapak asas yang dibina oleh kekasih ALLAH Ibrahim as. Baqum, seorang arkitek dari Rom telah ditugaskan menyelia kesemua proses pembinaan semula bangunan itu sehinggalah tiba saat untuk meletakkan kembali Hajar Aswad ke tempat asalnya. Mulalah para ketua kabilah ini sibuk mencanang diri sendiri agar menjadi The Selected One untuk meletakkan batu hitam itu di tempat asalnya.

Berkelahi, bergaduh, bertumbuk sudah menjadi adat “wajib” para musyrikin ini. Jadi tidak hairanlah perkara sekecil ini menjadi begitu kritikal untuk mereka.

Di tengah kekalutan ini Abu Umaiyah bin al-Mughirah al-Makhzumi telah mencadangkan agar sama-sama menerima cadangan penyelesaian dari seseorang yang paling awal tiba di pintu besar Masjidil Haram keesokan hari. Ditakdirkan ALLAH manusia al-Amin ini telah menjadi orang yang terawal tiba lalu mereka sepakat melantik insan GENIUS ini sebagai hakim.

Terserlah kebijaksanaannya. Dia terus mengambil sehelai kain lalu meminta otai-otai musyrikin itu memegang setiap penjuru kain dan baginda sendiri meletakkan batu itu di atas kain tersebut. Apabila sampai di tempat asal batu hitam itu baginda bertindak mengangkat sendiri batu hitam itu ke kedudukan asal. Semua manusia di situ menerima keputusan al-Amin dengan senang hati kerana itulah yang terbaik. THE MOST AND EVER GENIUS IS ONLY APPROPRIATE TO PUT ON HIS NAME AND WISDOM.

Tidak syak lagi ALLAH “memagar” kekasih-Nya ini dengan inayat dan rahmat sejak kelahiran lagi. Contoh pemikiran yang unggul dan jitu, dengan pandangan yang waras, kecerdikan dan kebijaksanaan tersendiri, ketepatan mencari jalan dan sasaran, di sulam dengan sifat pendiam yang panjang disokong dengan pengamatan dan keseriusan berfikir serta sentiasa berpihak kan kebenaran harus menjadi contoh dan sandaran kepada mereka yang bergelar ahli GERAKAN khususnya terutama dalam mengharungi term “tribulasi” masa kini.

Kita menyaksikan bagaimana baginda menyediakan platform yang kukuh sebelum menerima jawatan tertinggi dari ALLAH dalam masyarakat. Public relation atau hubungan sesama manusia antara baginda dan penduduk sekitar adalah yang terbaik. Meskipun baginda menolak sebarang bentuk khurafat namun itu tidak menghalang baginda untuk berinteraksi dengan penuh kewaspadaan dan basirah.

Tokoh termulia dalam kaumnya, elok perangai, tinggi sifat kejiranan, lapang kesabarannya, benar percakapan, lemah lembut pergaulan, bersih jiwa, murah pemberian, mulia pekerjaan, menepati janji, beramanah, bertanggungjawab dan AL-AMIN jawapannya.

Suri hatinya menukilkan,
“Seseorang yang sentiasa menanggung beban, membantu orang yang kesempitan, memberi makan kepada tetamu, menolong menegak kebenaran”
Mencecah umur 40 tahun, jurang pemikiran baginda dengan mereka yang berada di sekitarnya begitu jauh melangit. Kekusutan personaliti dan kehancuran akidah tidak dapat diperkatakan lagi. Maka “uzlah” telah menjadi metode kepada insan KAMIL ini untuk mengelak dari masyarakat yang tidak ada tunjang akidah lagi ini. Rupa-rupanya itulah “tamrin” yang disediakan khusus untuk diri yang mulia itu sebelum dianugerahkan amanah yang serba besar nanti. 3 tahun lamanya “tamrin” itu menjadikan baginda mampu menghayati dan berinteraksi dengan alam sekeliling.

Tepat umurnya 40 tahun lalu noktah kesempurnaan terbina dalam diri insan mulia ini. Turunnya Jibrail as membawa kalam tuhan yang Esa telah menukar peradaban manusia yang penuh kejijikan ini. Ya, memang jijik. Perkiraan Qamariah mencatatkan hari Isnin, 21 Ramadan bersamaan 10 Ogos 610M ketika usianya 40 tahun 6 bulan 12 hari. Catatan Syamsiah pula 39 tahun 3 bulan 12 hari.

Peristiwa penurunan cahaya Ilahi telah menghimpit segala kekufuran dan kegelapan kesesatan hingga mengubah landskap sejarah dan norma alam sekaliannya. Aisyah RA meriwayatkan dalam peristiwa ini,

Permulaan wahyu kepada Rasulullah ialah mimpi yang elok dalam tidurnya, apa yang dilihat Baginda semasa tidurnya ialah seperti mega pagi, kemudian Baginda diperkenankan untuk berikhtila’, Baginda pun berkhalwah di gua Hira, Baginda bertahannuth dan beribadat di sana di malam-malam hari untuk beberapa ketika, kemudian pulang semula ke pangkuan keluarga, untuk mendapat semula bekalan dari Khadijah hingga tibanya saat turunnya Jibril di Gua Hira, Jibril menemui Baginda dan memerintah Baginda membaca dengan katanya:

“Bacalah!”

Jawab Baginda, “Daku tidak tahu membaca!”

Dipeluknya Baginda sehingga kepenatan dan diperintah sekali lagi dengan katanya, “Bacalah!”

Jawab Baginda, “Daku tidak tahu membaca!”

Maka dipeluknya hingga Baginda kepenatan, diseru lagi dengan katanya, “Bacalah!” Jawab Baginda dengan jawapan yang sama, dipeluknya Baginda kali ketiga.

Kemudian dilepaskan dengan katanya,
“Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang menciptakan, Dia telah menciptakan manusia dengan segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Paling Pemurah, Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam. Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya.” 
al-’Alaq: 1-5
Menggeletar lutut baginda melalui pengalaman “ngeri” ini lalu berlari pulang ke rumah minta diselimutkan. “Selimutkan daku…. selimutkan daku…..”

Setelah segala gigilannya itu hilang lalu bertanyalah Khadijah RA kepada kekasih hatinya itu apakah gerangan yang berlaku.

“Apakah gerangan yang berlaku ke atas ku itu, ku takutlah terhadap diriku ini

“Tidak sama sekali, demi Allah, sesungguhnya Allah tidak akan menghinakan dikau, kerana dikau sentiasa menghubungkan pertalian silaturrahim, dikau memikul beban kesusahan, menolong yang tidak berada, memberi makan tetamu dan berusaha menyelesaikan rintangan yang menghalang kebenaran.” Pujuk Khadijah.

Khadijah terus membawakan suaminya berjumpa dengan Waraqah bin Naufal bin Asad bin Abu al-Uzza, anak saudaranya untuk bertanya tentang peristiwa yang dialami Muhammad SAW itu tadi.

“Wahai Waraqah, cuba kau dengar perihal yang terjadi pada Muhammad ini…?” Khadijah bertanya dengan penuh harapan.

“Apakah gerangan nya wahai saudara ku?”

Lalu diceritakan satu persatu peristiwa “pelik” yang dialami ketika di Gua Hira’ itu.

“Itulah dia malaikat yang mendatangi Musa as, kalaulah aku masih muda, kalaulah aku ini masih hidup tika saat kau dihalau keluar oleh kaum mu.”

“Apakah aku ini akan dihalau oleh kaum ku?”

“Bahkan….. tidak datang seorang manusia seperti kau ini dengan ajaran-Nya, malah kesemuanya ditentang… kalaulah aku masih hidup tika saat-saat itu pasti aku akan menolong engkau sepenuhnya!”

Sungguh, betapa peristiwa itu mengubah segalanya. Maka bermulalah era insan IDEAL dan GENIUS ini meneroka segala cabaran dan getir ujian yang disajikan demi ISLAM tertegak utuh.

Bersambung….

Rujukan:
  1. Fiqh Harakah 1 karangan Tuan Guru Haji Hadi
  2. Laman web www.dakwah.info