Wednesday, February 24, 2010

Muhammad SAW: Genius & Ideal (Bahagian 2)

Biarkan mereka para orientalis terus bermain namun jangan sesekali kita terpesong akidah kerana dakyah mereka. Nasihat untuk diri dan sahabat sempena bulan penuh “kegembiraan” ini.

Ingatlah ketika ALLAH SWT berfirman
“Dialah yang mengutus seorang Rasul kepada kaum yang buta huruf dari kalangan mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya ,menyucikan (jiwa) mereka, dan mengajarkan kepada mereka Kitab dan Hikmah (sunnah),meskipun sebelumnya mereka benar-benar dalam kesesatan yang nyata” 
Surah Al-Jumu’ah: 2
Al-Fujjar telah menyediakan satu medan yang cukup mantap buat diri insan IDEAL ini meskipun baru mencecah umur 10 tahun ketika itu. Membantu bapa saudaranya mengutip anak panah cukup mengajar erti “survival” di padang pasir demi maruah dan hak kendiri terpelihara. ALLAH mengatur yang terbaik buat kekasih-Nya.

Natijah gelora al-Fujjar telah melahirkan satu ikatan yang berasaskan semangat keadilan meskipun para pencaturnya adalah golongan musyrikin iaitu Perjanjian Al-Fudul. Kesemua kepala-kepala Arab Quraisy berkumpul di rumah Abdullah bin Jadaan Al-Taiyimi bersetuju dan berjanji untuk memihak kepada sesiapa sahaja yang dianiayai, dan bertindak terhadap penganiaya, hingga dapat dikembalikan hak kepada tuannya. Insan KAMIL ini berada sama menyaksikan persetiaan itu lalu menukilkan dalam sebuah kata-katanya setelah dilantik menjadi Rasul bahawa,

“Daku telah menyertai satu perjanjian yang dilangsungkan di rumah Abdullah bin al-Jadaan. Perjanjian yang menyenangkan hatiku, lebih dari kesenangan ku kepada unta-unta gemuk, sekiranya aku dijemput semasa di dalam Islam nescaya daku beri persetujuan segera”

Nyata itulah dalil betapa gerakan-gerakan Islam moden menjadikan “DEMOKRASI” sebagai platform dan alat untuk mencapai cita-cita daulah Islamiyah. Manusia GENIUS ini sendiri mengaku bahawa dia pasti akan memberi persetujuan dalam perjanjian itu meskipun cara dan pelaksanaannya mengikut manhaj Musyrikin bahkan merekalah yang MENCIPTAKAN perjanjian itu!

Jahil sangat kah Muhammad SAW untuk menerima cara “orang kafir” sewenang-wenangnya?

Dangkal sangat kah Islam sehinggakan insan MULIA ini sanggup mempersetujui cara “orang kafir” untuk meneruskan survival dakwah?

Nyata TIDAK SAMA SEKALI!

Malah itulah bentuk pemikiran insan yang GENIUS. Menampakkan penyelesaian berbanding permasalahan yang tak kunjung habis.

Oh, tuhan kurniakan lah petunjuk pada hamba-Mu ini…

ALLAH swt pengatur yang terbaik. Mempertemukan baginda dengan saudagar wanita ulung Siti Khadijah dalam misinya mencari seorang pekerja yang AMANAH dan HEBAT PERIBADINYA. Muhammad calon yang terbaik pabila dia menerima perkhabaran bahawa ada seorang pemuda yang unggul yang sedang mencari pekerjaan di sekitar Makkah.

Muhammad ketika itu sudah biasa dengan segala jenis pekerjaan termasuklah menggembala kambing. Sama sekali itu tidak menjadikan baginda manusia yang hina malah tarbiah itulah yang mendidik baginda agar mempunyai rasa dan sifat merendah diri.

Tanpa menunggu lagi, Khadijah terus menjemput Muhammad melalui pesuruhnya untuk menjadi peniaga hartanya sehingga ke bumi Syams. Insan IDEAL ini menerima pelawaan itu dengan senang hati lalu bertemankan Maisarah, baginda mengetuai angkatan “business” Siti Khadijah itu ke Syams.

Satu perkara ajaib bila mana Khadijah melihat hasil keuntungan dan jumlah hartanya yang diniagakan oleh Muhammad makin bertambah tidak berkurang. Nyata resipi AMANAH dan BERKAT itu begitu ampuh dalam kehidupan baginda. Tidak pernah berlaku sebegini.

Lalu melalui “perisik” sambilan yang dilantik secara tidak lansung, Maisarah mengkhabarkan segala budi pekerti dan keperibadian insan KAMIL ini maka terbukalah hati wanita jutawan ini untuk berkongsi hidup dengan seseorang meskipun sebelum ini begitu ramai pembesar Quraisy melamar akan dia untuk dijadikan suri hati.

Bagaikan bertemu dengan sebutir mutiara berharga, Khadijah terus melamar baginda melalui Nafisah binti Manyah sebagai orang tengah.

Nyata wanita bangsawan ini tidak bertepuk sebelah tangan. Lamarannya disahut baginda dengan penuh amanah dan tanggungjawab.

Melalui paman nya Abu Talib baginda meminang dan menikahi wanita bertuah ini dengan mahar sebanyak 20 ekor unta betina. Inilah seafdal-afdal wanita dari segi nasab keturunan, harta dan pemikirannya untuk baginda SAW.

Cinta tidak mengenal usia….

Meskipun baginda hanyalah berumur 25 tahun ketika itu dan Khadijah berumur 40 tahun, jurang ini tidak bermakna apa-apa. Bukan nafsu jadi sandaran baginda tapi amanah dan tanggungjawab menjadi jawapan segalanya. Dari rahim suci wanita inilah lahirnya 2 putera dan 4 puteri namun ALLAH telah merancang segalanya. Kesemua puteranya dipanggil mengadap Ilahi ketika masih lagi kecil.

Anak pertamanya bernama Qasim, dengannya baginda digelar Abu al-Qasim, kemudian Zainab, Rukiah, Umi Kalthum, Fatimah dan Abdullah, baginda bergelar sebagai al-Tayyib dan al-Tahir, anak lelakinya kesemuanya meninggal semasa kecil, manakala anak-anak perempuannya kesemuanya sempat dengan kebangkitan baginda sebagai Rasul utusan Allah, kesemua mereka memeluk Islam dan kesemua mereka berhijrah, semua mereka ini wafat semasa hayat baginda kecuali Fatimah seorang sahaja yang wafat selepas kewafatan baginda enam bulan kemudian.

Kisah cinta agung ini nyata tiada siapa mampu menandingi nya.

Bersambung…

Rujukan:
  1. Laman web www.dakwah.info