Tuesday, February 23, 2010

Muhammad SAW: Genius & Ideal (Bahagian 1)

Ingatlah ketika ALLAH SWT berfirman,
“Dan ingatlah ketika Isa bin Maryam berkata:”Hai Bani Isra’il,sesungguhnya aku adalah utusan ALLAH kepada kamu,membenarkan kitab yang diturunkan sebelumku iaitu Taurat dan memberi khabar gembira dengan datangnya seorang Rasul yang akan datang sesudahku yang namanya MUHAMMAD.Maka tatkala Rasul itu datang kepada mereka dengan membawa bukti-bukti yang nyata,mereka berkata:”Ini adalah sihir yang nyata.” 
Surah as-Saff: 6
Dunia amat mengharap ketika itu bilamana semuanya tersadung dalam lembah kehinaan. Bangsa Arab yang penuh kejahiliahan Latta,Uzza dan Manat. Kesyirikan Rome setelah bersaksi pada Injil yang diubah suai. Yahudi terus dalam kesombongan dan kekufuran lantaran enggan menerima kebenaran. Parsi pula asyik dengan hikayat-hikayat penindasan.

Negara China tenggelam dalam pemujaan sesama sendiri hasil didikan Buddha, Confutze dan Lotze. India pula dihantui kesesatan Hindu. Itulah hakikat dunia sebelum lahirnya insan GENIUS dan IDEAL ini. Membawa perubahan dengan izin ALLAH SWT menjadi pesuruhnya lalu menyampaikan segala risalahnya kepada semua tanpa mengira darjat umur dan pangkat.

Mimpi demi tragedi dilalui semua mereka yang sedar dan tidak sedar. Makkah bersinar. Api Parsi padam terus gelita.

Gajah dan angkatan Abrahah berangan “bermimpi” menghancurkan Ka’bah lalu Ababil jadi pemusnah dan pelbagai lagi peristiwa ajaib melanda seakan memberitahu bahawa Makkah akan menerima seorang yang teramat mulia dan istimewa. Nyata janji ALLAH itu tidak sia-sia pabila tanggal 12 Rabi’ul-Awal tahun Gajah menjadi hari yang paling bahagia kepada seluruh muka bumi ini dengan lahirnya MUHAMMAD BIN ABDULLAH.

Seorang insan kamil lahir dengan taklifan yang begitu hebat dan berat di bahunya. Namun segalanya telah berada dalam perancangan Dia yang Maha Mengetahui. Nasabnya begitu cantik dari keturunan Ibrahim AS melalui anaknya Ismail AS terus ke golongan pemegang ekonomi Makkah ketika itu, Bani Hasyim.

Gembira si datuk Muhammad ini lalu membawanya ke dalam Kaabah untuk memanjatkan doa kesyukuran kepada ALLAH dan memuji-Nya kerana mengurniakan dia seorang cucu lelaki lalu menamakan akan bayi itu Muhammad yang bermaksud terpuji. Memang sesuai. Meskipun lahirnya dalam keadaaan yatim sejak dalam kandungan ibunya Aminah lagi.

Itu perancangan Dia yang Maha Agung tanpa kita mengetahui kenapa begitu pada awalnya. Namun itulah tarbiah yang maha dahsyat demi melahirkan seorang pemimpin unggul dan penunjuk kebenaran yang tegak istiqamah meskipun dilanda tsunami ujian manusia yang penuh kejahilan itu. Berpindah tangan susuan dari Thuwaibah ke Halimatus Sa’diah selama dua tahun telah mengajar Muhammad erti “hidup cara kampung”.

Sayang keluarga Halimahtus Sa’diah pada diri itu makin utuh lantaran kehebatan yang ALLAH zahir kan pada diri Muhammad seakan tanda bahawa dia bukanlah mereka yang kebanyakan itu. Hidup di perkampungan Bani Sa’ad itu menjamin kefasihan Arab si kecil Muhammad ini dan mengajarkan dia akan hidup penuh kesederhanaan tanpa kepura-puraan.

Meskipun akhirnya dia terpaksa berpisah dengan keluarga penyayang ini namun ALLAH telah mengatur segalanya. Nyata tidak lama dia mampu mengecapi kasih sayang ibunya Aminah pabila dipanggil mengadap Ilahi selepas melawat maqam bapanya Abdullah di Yathrib. Kasihnya berpindah pada datuknya Abdul Mutalib seorang insan yang begitu dihormati dalam kalangan Quraisy ketika itu.

Sayang dia pada cucu dia yang hebat ini telah jelas terpancar pabila dia membenarkan Muhammad duduk bersamanya di hamparan khas ketika perjumpaan pembesar-pembesar Quraisy. Sayang seribu kali sayang Abdul Mutalib ketika itu sudah mencecah 120 tahun umurnya telah dipanggil mengadap-Nya meninggalkan Muhammad yang hanya berumur 8 tahun sahaja.

Dia masih kecil untuk mengerti semua ini. Lalu kasihnya berpindah ke bapa saudaranya, Abu Talib. Membesar dan bermain bersama sepupunya sehingga dirinya besar dan kuat untuk memikul pelbagai amanah pada masa akan datang. Melalui bapa saudaranya itu Muhammad telah belajar pelbagai survival hidup sebagai seorang manusia di dunia padang pasir itu.

Meskipun baru berumur 9 tahun namun Abu Talib nyata telah begitu berani memberi amanah kepada Muhammad untuk mengikutinya berniaga di Syams, bumi yang begitu jauh dari Makkah ketika itu lantaran kehendak dan permintaan Muhammad sendiri. Pertemuan Muhammad dengan Buhaira, seorang rahib di Syams telah membuka sedikit rahsia bahawa Muhammad adalah bukan insan biasa.

“Apakah hubungan dia dengan kau?” tanya si rahib.

“Anakku!” jawab Abu Talib.

“Dia bukan anakmu, tidak patut ayah kepada budak ini masih hidup.” Ujar si rahib dengan penuh yakin. Dia telah melihat sinar kerasulan pada diri Muhammad.

“Ya, dia anak saudara ku….” Abu Talib beralah.

“Di mana bapanya?” Rahib itu tidak berhenti lagi.

“Bapanya meninggal ketika dia dalam kandungan….” Abu Talib dengan jujur memberitahu.

“Betul, bawalah dia pulang ke negeri mu. Berwaspada lah dari orang Yahudi. Demi Tuhan, kalau mereka melihatnya di sini akan berlaku perkara buruk kepadanya. Sesungguhnya akan berlaku kepada anak saudara mu ini perkara besar…” Si Rahib memberi amaran kepada Abu Talib. Dia masih terpinga-pinga kebimbangan.

Maka tergesa-gesa lah Abu Talib membawa Muhammad pulang ke Makkah.

Tuduhan Carre De Vaux, orientalis Perancis yang mengarang buku Pengarang Al-Quran bahawa Buhaira bukan sahaja bertemu dengan Muhammad tetapi mengilhamkan Muhammad untuk mengarang Al-Quran nyata telah menunjukkan kedangkalan si orientalis ini berfikir lantaran kebongkakan untuk menerima kebenaran.

Nampak cerdik namun bodoh semata umpama lansung tidak belajar. MUSTAHIL pertemuan yang sekadar mengadap makanan dalam hidangan antara seorang Rahib dan kanak-kanak mampu memberi impak maksima sehingga melahirkan seorang “pengarang” kitab yang begitu hebat sehingga sekarang tiada siapa mampu mencabar kitab “karangannya” itu.

Fikirlah sikit Carre. Muhammad itu amanah kata kawan dan lawan. Fakta ini tidak mampu diubah oleh sejarah para orientalis.

Bersambung…

Rujukan:
  1. Fiqh Harakah 1 karangan Tuan Guru Haji Hadi
  2. Web Halaqah-Online.com