Wednesday, January 27, 2010

Politik Kampus: Antara Kebajikan Mahasiswa dan Kepentingan Politik

Tatkala tika ini kita sibuk berbicara tentang Pilihan Raya Kampus sesi 09/10 yang berlangsung sekitar 2-3 minggu ini telah terungkap pelbagai kerenah dan ADEGAN yang kadang-kala kontra dengan perwatakan seseorang itu.

Manakan tidak bila EMOSI menjadi sentimen dalam menentukan segalanya. Aku berbicara ini sebagai buah fikiran buat mereka di luar sana yang rancak mengatur strategi agar CALON-CALON yang dipersembahkan memikat hati pengundi.

Ya, tidak salah sama sekali tindakan kita untuk membangkitkan semangat dan kesedaran politik dalam kalangan mahasiswa di kampus yang semakin hari semakin hanyut dalam sikap KETIDAKCAKNAAN kita pada hal sekeliling. Namun ingat ANDA sedang diperhatikan oleh mereka yang BERFIKIR!

Di kampus UKM hanya tinggal sehari lagi untuk mereka di luar sana berkempen. macam-macam ada. jadi “PAK GUARD” yang tak bertauliah sepanjang PRK ini. Lahirnya TUKANG PUKUL yang setaraf The Rock. Kumpulan-kumpulan mahasiswa di SPEAKING CORNER sibuk mengutarakan idealisme mereka.

Poster dan flies berterbangan menunggu cleaner memasukkan dalam TONG SAMPAH kerana kemualan para pengundi. Mereka yang berjawatan dalam PENTADBIRAN mula menjadi budak kecil yang tak tahu apa itu makna DEMOKRASI. Pengetua-pengetua kolej mula sibuk merencana agar misi KUKU BESI terus terlaksana di kolej kediaman.

Kelihatan mereka yang “play safe” mula belajar jadi TALAM DUA MUKA. Para pembenci “SISTEM ORANG KAFIR” ini terus sepi menyepi dan terus menyepi sepanjang PRK. Laungan “STUDENT POWER” sesekali kedengaran di sekitar kampus menantikan sahutan para mahasiswa. Kuliah kadang kala terpaksa beri laluan untuk calon MEMPROMOSIKAN diri sendiri. Dan bermacam-macam lagi.

Mereka melaungkan slogan kebajikan MAHASISWA senantiasa dan di mana sahaja. Sesetengah berpendapat cuma RETORIK saja. Mana tidaknya jika selepas menang asyik pergi minum teh bersama MENTERI dan bersembang dengan YB sahaja kerjanya.

Aku bersetuju pada pandangan pertama kenyataan itu tapi bukan semua mereka yang menang jadi macam itu sahabatku. Mungkin mereka yang berideologi POLITIK SEMPIT DAN MURAHAN saja sahabatku. Itu cerita dulu, sekarang mungkin sudah berubah dek akal lama da kena tukar.

Kedua-dua pihak begitu prihatin pada mahasiswa sepanjang minggu ini. SPKG, JPA, audio dewan kuliah, keselamatan mahasiswa, parking motor berbumbung, watercooler, meja studi di foyer fakulti dan bermacam perkara RETORIK lagi dilontarkan semata-mata menang dan terpilih.

Aku terfikir jika benar mereka ingin memperjuangkan kebajikan AKU sebagai MAHASISWA UKM mahu kah mereka yang kalah berkongsikan segala idea dalam manifesto mereka dengan mereka yang menang itu?

Berbicara dengan aku tadi seorang penggerak Gabungan Mahasiswa UKM dalam “perang” kali ini di sebuah restoran berdekatan UKM tentang apa tindakan sekiranya mereka kalah. Cadangan aku yang serba JAHIL ini agar berkongsi idea kepada mereka yang menang nyata ditolak mentah-mentah. Bagi aku apa salahnya jika kita meminta mereka yang menang agar membawa manifesto kita pada pihak atasan.

“Tak boleh sheikh, kita ni dalam politik... Bukan masa kita nak serah dada kita pada mereka senang-senang...” ujar seorang teman aku dalam GMUKM. Kami bersama membawa ideologi mahasiswa.

“Kenapa tak boleh pula? Itu kan semuanya untuk kebajikan MAHASISWA!” aku menyoal sambil mendesak temanku itu.

“Tak boleh... Nanti mereka guna nama mereka umpama merekalah pencetus dan penggerak segalanya untuk mahasiswa...” ujarnya lagi, dengan harapan aku memahami alasan itu. Aku terus bertanya lagi, “Penting sangat ke nama tu?” Aku mula mempersoalkan tujuan sebenar penglibatan dalam pilihanraya kampus ini.

“Penting!” Suaranya tegas, seolah-olah tidak selesa dengan persoalan-persoalan yang aku lontarkan.

Kemudian dia menyambung, “Nanti adik-adik kita akan datang nak tengok siapa sebenarnya GMUKM dan Aspirasi ni... Mereka akan terus boleh doktrin yang merekalah hebat dan segala-galanya...”

“Boleh pakai ke alasan ni? Cakap berapi nak memperjuangkan HAK DAN KEBAJIKAN MAHASISWA tapi suruh kongsi idea demi MAHASISWA tak nak pula. Itu kan kerajaan yang dah dipilih untuk memerintah oleh mahasiswa UKM so kita bantulah dengan idea kita.”

Aku memanjangkan perbualan ini dengan cuba membawakan rasional kepada perlunya ada integrasi idea.

“Tak boleh sheikh. Memang tak boleh... Itu dah lari dari prinsip kami...” Oh begitu, aku mengangguk.

Tersenyum aku. “Kongsi je la manifesto tu…. Yang hang dok pikiaq sal nama bagi dikenang adik-adik akan datang buat apo?” Aku menelah, “Politik segala-galanya ke?”

“Bukan macam tu…. Kita kena pandang jauh ke hadapan….” Dia menguman, aku tahu dia tidak berminat lagi meneruskan debat sebegini.

Begitulah serba sedikit “perdebatan” aku dengan teman aku tadi. Entah, aku sendiri tak tau nak simpul macam mana. Macam-macam persoalan timbul dalam benak fikiran aku ini. Mungkin betul serkap jarang yang mengatakan bahawa CALON-CALON MPP kebanyakan RETORIK sahaja. Cakap lebih, kerja hampeh. Berjuang untuk MAHASISWA konon padahal KUASA semata.

Itulah sahabat-sahabatku bahawa hidup kita di dunia ini langsung tidak terlepas dari tanggungjawab untuk kita memilih pemimpin dalam kalangan kita. Jika ada yang terasa hati akibat lontaran maya aku ini harap kemaafan menjulur dari aku dapat disambut dengan baik.

Berjuang tak salah namun niat mesti betul. Jika sekadar nak mencapai kepentingan politik sempit baik duduk dalam bilik dan main video games. Orang lain pun tak rasa menyampah pada kita. Aku malas nak mengungkit pasal Aspirasi lebih-lebih kerana mereka memang dah haprak dari dulu lagi.

Cuma aku harap dasar dan matlamat perjuangan GMUKM tak jadi haprak macam Aspirasi bila semata nak kejar kuasa dan kepentingan politik SINGKAT kerana aku adalah pendukung setia mereka insha'ALLAH.