Wednesday, November 18, 2009

Rinduku pada Melaka

Subhanallah, lansung tak disangka cuti semester kali ini membawa aku ke Melaka sekali lagi setelah agak lama aku meninggalkan bumi penuh kenangan dan pengalaman itu. Setelah hampir 3 minggu bergelut dengan final exam untuk semester pertama di UKM membuatkan aku benar-benar lelah dek banyak perkara terpaksa aku catch-up semula lantaran penyakit MALAS dan LUPA.

Itulah,baru nak menyesal. Insya ALLAH moga-moga tuhan perkenankan doa kami agar cemerlang kali ini. Amin ya rabbal alamin…

Pelbagai perancangan dibuat agar cuti kali ini terisi dengan perkara berfaedah yang mampu menjana iman, ilmu dan amal kami semua. Tika aku menulis catatan ini terdengar bunyi desiran angin lalu membawa daun-daun kering menyapu lantai bumi Baitul Qurra’ wal Ilmi penuh baraqah ini untuk mendengar taujihad dan menadah kitab dengan Murabbi Mursyid Ustaz Zulkifli Haji Ismail, moga-moga rahmat ALLAH ke atas beliau.

Jauh di sudut hati aku merasa beruntung kerana dipilih ALLAH untuk mengikuti Daurah Ilmu kali ini yang dianjurkan oleh abang-abang senior UKM setelah sekian lama jiwa ini kegersangan dari menikmati curahan ilmu dan tarbiyah dari metodi klasik iaitu talaqqi secara langsung dengan tok guru.

Saat menjejakkan kaki di Melaka Sentral setelah mengharungi satu perjalanan yang panjang dari UKM terus ke Melaka Sentral menjadikan aku terawangan mengimbau kembali kenangan ketika bersama sahabat matrik mula mengenal dunia ilmu dan tarbiyah di bumi bertuah ini.

Kedatangan aku kali ini bertemankan Abang Faizal, Abang Harith dan Abang Fahmi – moga mereka sentiasa dalam lindungan rahmat dan keampunan ALLAH – membawa seribu makna dengan tujuan menuntut ilmu bagi meneruskan tarbiyah di bumi UKM sesi hadapan dalam keadaan hati terkenangkan dan merindui mak abah di kampung.

Ya, aku agak terkilan bilamana tak dapat menghadiri majlis pertunangan kakak sulungku pada akhir Oktober lalu lantaran tengah sibuk menghadapi final exam dan pelbagai tugasan lagi. Bagi aku inilah masa untuk cari ilmu selagi ALLAH masih lagi memberi kekuatan pada kaki aku untuk melangkah.

Di sinilah aku mula mengenal sistem pondok, talaqqi, murabbi, tok guru, jemaah dan daurah. Bumi Melaka juga menjadi tapak pertama Islam berkembang di Tanah Melayu ini. Bumi Melaka juga menyaksikan kebangkitan legasi keilmuan Islam di Nusantara secara pesat dan hebat. Bumi Melaka juga menjadi saksi HUKUM ALLAH telah berjalan dengan saksamanya oleh sekalian generasi Kesultanan Melayu Melaka.

Cukup hujah untuk aku menyatakan kenapa aku begitu rindu akan Melaka ini. Moga generasi anak murid Baitul Qurra’ akan berjaya merealisasikan hasrat Ustaz Zulkifli untuk menjadikan Melaka sebagai hub ilmu di Malaysia ini pada masa akan datang.

15th November 2009


Hari ini ada Kuliah Dhuha yang disampaikan oleh Ustaz Zul berkenaan satu hadith di mana Rasulullah mengajar cara nak mengurus perasaan marah. Ternyata Ustaz Zul berjaya menghasilkan “zupp” bila bahasa pengajarannya begitu kaya nyata langsung tak berkurang malah seakan setiap patah perkataan yang diucapkan ustaz memberi makna yang mendalam pada diri aku ini yang erba dhaif.

Apatah lagi bila di akhir kuliah membawa kepada sebuah pertemuan yang tak disangka-sangka antara aku dan senior Matrikulasi Melaka – Abang Mat, Abang Zul, Abang Aman dan adik-adik junior.

Ya ALLAH begitu besar nikmat pertemuan itu setelah sekian lama tak bertemu mata dengan mereka semua. Melepaskan rindu seketika bersama mereka sebelum mereka pulang cukup bermakna bila terselit gurau senda seakan mengimbau kenangan ketika di Matrik Melaka dulu. Pengajian bersambung selepas itu dengan Ustaz Zul membaca kitab Inilah Kitab Sifat 20 Puluh.

Mantap!

Terpana seketika bila Ustaz Zul menyebut tentang tingkatan iman dari Imanul Aqli kepada Imanul Ehsan. Aku di mana?

Tak terkira banyak lompang dalam hidup kita sebagai hamba-Nya. Selepas pengajian kitab selesai, aku mengambil peluang menyelongkar bilik kitab di Baitul Qurra’ dan ianya mempertemukan aku dengan sebuah kitab mengenai kajian berkenaan salasilah Ahlul Bait dan Keturunan Kesultanan Melayu di Malaysia.

Terpegun aku bila membaca kajian yang begitu lengkap mengenai salasilah Ahlul Bait sehinggalah kepada Kesultanan Terengganu, Kesultanan Kelantan, Kesultanan Johor, Kesultanan Perlis dan Kesultanan Kedah. Pembacaan itu menyebabkan aku dalam dilemma lantaran memikirkan cara hidup mereka para sultan sekarang ini langsung tak menggambarkan cara hidup Rasulullah SAW dan Ahlul Bait yang lain. Mengapa?

Perlukah aku menghormati dan kasih akan mereka sebagaimana kasih dan hormat aku pada Habib Umar dan Habib Munzir?

Salahkah aku selama ini yang mengatakan bahawa Institusi Istana dalam pemerintahan Malaysia tak perlu wujud lantaran kuasa mereka begitu minima untuk memutuskan penyelesaian dalam setiap masalah yang timbul?

Azamku untuk Ustaz Zul mentashihkan perkara ini membuak-buak kerana aku jujurnya jahil dalam perkara ini. Malah bekas pelajar Baitul Qurra’ yang kini berada di Mesir, Abang Hafiz pernah memberitahu bahawa Ustaz Zul telah membuat satu kajian terperinci mengenai hubungkait antara Islam dan Melaka itu sendiri. Padaku mungkin Ustaz Zul ada jawapannya tersendiri.

Malamnya pengajian kami bersambung pada pukul 1 pagi kerana ramai pelajar terlibat dengan satu program luar yang memaksa Ustaz Zul melanjutkan masa pengajian bagi memberi ruang pada pelajar untuk menghadiri program itu dengan sempurna. Bagi mengisi masa lapang itu satu usrah telah diadakan dengan membangkitkan isu rasuah yang semakin parah dalam negara ini dan pelbagai penyelewengan yang berlaku di sekitar kita tanpa adanya kesedaran dalam diri rakyat Malaysia untuk bangkit berjuang menegakkan kebenaran.

Kami mengaitkan perkara yang berlaku sekarang ini menjadi bukti kepada hadith Rasulullah yang bermaksud, mafhumnya “tidak akan berlaku kiamat selagi tak tiba satu zaman di mana mereka melantik orang bukan ahli dalam sesuatu urusan”.

Ya, memang benar sabda Rasulullah akan hakikat yang berlaku pada saat ini. Perbincangan ini turut mengaitkan dengan kelesuan MAHASISWA masa kini untuk mengambil tahu isu semasa dan meningkatkan kesedaran untuk berubah. Mungkin ramai yang terkena virus 3K kot.

Tamat je usrah itu kami mula bersiap untuk mendengar kuliah tauhid jam 1 pagi. Mantap tak kuliah tauhid pukul 1 pagi?

16th November 2009


Pagi yang nyaman dengan suasana pondok menyambut hari ke-2 aku berada dalam daurah ini bersama sahabat seperjuangan. Selepas membaca Wird Latif secara berjemaah kuliah pengajian tauhid bersambung pada part yang terakhir sebelum khatam kitab Inilah Kitab Sifat 20 Puluh dengan Ustaz Zul.

Persoalan yang bermain dalam kepala aku mengenai kaitan antara Ahlul Bait dan Kesultanan Melayu turut terjawab pagi ini sesudah kuliah tauhid. Menurut Ustaz Zul memang benar mereka para Sultan adalah keturunan Ahlul Bait seperti Sultan Mizan namun manhaj hidup mereka bukanlah berlandaskan manhaj Ahlul Bait.

Jika Sultan Alauddin Riayat Shah sanggup memikul makanan berjalan sekeliling kota untuk mencari rakyat yang susah, keadaan itu langsung tiada dalam landskap hidup sultan pada masa sekarang. Mereka bergelumang dalam kemewahan dalam pada masa yang sama begitu ramai rakyat menderita kemiskinan.

Ustaz Zul turut mengatakan betapa Melaka ini bumi yang berkat kerana islamnya Parameswara adalah melalui mimpi bertemu dengan Rasulullah SAW dan baginda telah mengajar Parameswara mengucap syahadah. Peristiwa itu disusuli dengan ketibaan Syeikh Abdul Aziz di pelabuhan Melaka untuk mengajar Sultan dan rakyat Melaka akan ajaran Islam.

Walaupun Islam tiba di Kelantan,Terengganu dan Pattani lebih awal dari Melaka namun ia tidak menjadi agama anutan para pemerintah yang menyebabkan Islam menjadi lemah pengaruhnya berbanding agama Hindu dan Buddha pada masa itu. Islam tak mampu berdiri tanpa kerajaan. Itulah hakikat sebenar kerana kesyumulan Islam itu sendiri.

Maka Melaka menyaksikan Islam berkembang pesat lantaran ia menjadi anutan para pemerintah. Ribuan ulama telah dilahirkan di Melaka dan mempunyai hubungan yang rapat dengan Khilafah Uthmaniah di Turki. Namun sayang seribu kali sayang apabila Portugis menakluk Melaka mereka telah menghapuskan semua ulama dan kesan peninggalan Islam di Melaka.

Mereka meruntuhkan masjid dan menggantinya dengan gereja. Mereka membunuh semua ulama dengan kejam dan pelbagai seksaan dikenakan keatas orang-orang Islam Melaka. Kedatangan Belanda turut menyaksikan tragedi yang sama berulang.

Menurut Ustaz Zul paku Belanda mendapat nama sebegitu kerana mereka menggunakan paku tersebut untuk menyeksa para ulama sebelum dibunuh. Inilah cerita yang tidak pernah sampai ke pengetahuan umat Islam di Malaysia.

Ternyata musuh-musuh ALLAH begitu gentar dengan kebangkitan Islam dan bertindak menghapuskan segala pengaruh Islam dengan kejam. Mereka memasukkan ulama ke dalam tong arak yang kosong dan dipaku di sekeliling tong tersebut sebelum mereka menghancurkan tong itu untuk membunuh ulama dengan siksaan yang menyakitkan!

500 tahun Melaka dijajah dan dianiaya golongan Kuffar sehinggakan bukan sahaja para ulama dan kesan peninggalan Islam lenyap di bumi Melaka malah semangat perjuangan orang Melaka turut terhapus untuk membela Islam. Mereka hilang sensitiviti untuk membela Islam sebagai wadah perjuangan mereka.

Jika kita meninjau kenapa ramai orang Melayu tinggal di Australia dan Afrika Selatan pada hari ini berasal dari Melaka kerana mereka adalah keturunan para ulama Melaka yang telah dihantar penjajah ke Afrika Selatan dan Australia untuk menjadi hamba abdi di sana.

Namun para ulama itu begitu hebat mempertahankan Islam dan Iman mereka walaupun diseksa begitu teruk kerana mengamalkan ajaran islam. Para wanita yang bertudung disula akibat cara pemakaian mereka itu. Dalam kalangan mereka juga, sejarawan mencatatkan oleh kerana mahu melindungi maruah Islam mereka telah plasterkan Al-Quran ke dalam dinding rumah mereka agar kitab suci itu tidak dicemari oleh tangan musuh-musuh ALLAH.

Menurut Ustaz Zul lagi kita sudah pasti akan menangis jika membaca sejarah sebenar penjajahan Melaka. Pada masa sekarang mereka cuba melekakan kita dengan membawakan kisah Hang Jebat dan Hang Tuah kononnya itulah sejarah sebenar Melaka.

Mereka turut mendakwa nama Melaka itu berasal dari sepohon pokok Melaka di tepi Sungai Melaka sedangkan nama itu adalah berasal dari perkataan Arab dari peniaga dan pendakwah Arab sendiri yang bermaksud “tempat bertemu”. Semua ini mereka lakukan demi menghapuskan nilai-nilai Islam di Negeri Melaka!

Ya ALLAH engkau bantulah usaha Ustaz Zul dan para pendakwah lain yang ingin mengembalikan Melaka sebagaimana zaman Sultan Alauddin Riayat Syah dulu di mana Islam menjadi Ad-Deen yang sebenar. Inilah sedikit sejarah Melaka yang menjadi rahsia sehingga kini dan tidak pernah disebut dalam buku teks Sejarah KBSM.

Kenapa jadi begitu? Sahabat-sahabat tentu mempunyai jawapan tersendiri.

Hujan lebat yang turun pagi ini disusuli berita seorang sahabat mengalami kecelakaan jalan raya semasa dalam perjalanan ke Baitul Qurra’ menjadikan aku serba tak selesa meskipun disulami lawak bertaraf antarabangsa oleh Abang Ammar, Abang Fendi dan Abang Farid…..

Perancangan ALLAH mengatasi segalanya dan kita sebagai hamba haruslah berusaha menerima ketetapan ALLAH itu dengan hati penuh redha dan bersyuku. Hidup diteruskan di Baitul Qurra’ dengan taujihad khas Ustaz Zul untuk pelajar yang bertamrin di Madrasah An-Nur berkenaan jihad dan dakwah walaupun mata mengantuk tahap maksima. Begitulah hidup dalam suasana kuliah dan pengajian ilmu pasti dan pasti tak dapat mengelak dari mengantuk. Nak buat macam mane?

Alhamdulillah kali ini Ustaz Zul mengambil keputusan untuk mengajar kitab Al-Risalah Al-Jamiah karangan Imam Ahmad bin Zin yang merupakan sebuah kitab fiqh asas yang begitu popular dalam kalangan ulama di Yaman sebagai sambungan pengajian setelah khatam kitab tauhid pagi tadi. Kami turut menadah kitab karangan Ustaz Zul sendiri iaitu Hukum Berlunak Dalam Mengenal Jalan Dakwah Yang Mendapat Redha ALLAH.

Namun sayang kerana aku hanya sempat mengaji setakat muqaddimah sahaja kedua-dua buah kitab kerana esok aku terpaksa bertolak pulang ke UKM bagi menghadiri perkampungan OPKIM ‘09 ISIUKM bagi semua AJK program.

17th November 2009


Pagi yang suram kerana aku terpaksa bertolak pulang ke UKM untuk tanggungjawab lain. Kenangan manis bila berpeluang belajar memasak di dapur pondok Baitul Qurra’ bersama sahabat-sahabat lain untuk menyediakan sarapan nyata begitu mengusik perasaan.

Huhu, penat ketawa bila memasing buat lawak tak henti-henti. Titipan aku tika ini aku sudah berada dalam bilik di Kolej Keris Mas setelah bertolak pagi tadi dengan menaiki komuter. Sungguh aku merindui gelak tawa anak-anak Ustaz Zul yang cerdik walaupun masih lagi kecil.

Penat?

Aku tak pasti kerana walaupun tika ini jam sudah menunjukkan angka 4 pagi mataku terus segar menaip catatan perjalanan aku sepanjang berada di bumi Melaka untuk menuntut ilmu dengan seorang ulama yang hebat moga rahmat ALLAH ke atas beliau. Mungkin ini seakan berbentuk catatan peribadi namun bagi aku ia memberi makna yang besar untuk dikongsi tak ubah sekadar ekspresi kepada rasa cintaku pada bumi Melaka dan Baitul Qurra’ yang diberkati.

Ya ALLAH engkau berilah pada kami hidayah agar hati kami sentiasa dipenuhi dengan rasa cinta pada-Mu, Rasul-Mu, para ulama, ibubapa kami dan seluruh umat Islam.

Amin ya Rabbal Alamin…