Friday, September 18, 2009

Aku dan Ramadan

Masya ALLAH dah lama aku tak menulis dalam blog aku ini. Seingat aku hampir sebulan tidak berkunjung ke sini. Hampir tak sedar betapa Ramadan telah berlalu dengan begitu pantas sekali umpama baru seminggu dia menjengah kita semua.

Apa khabar iman dan takwa sahabat-sahabat?

Setelah sebulan dididik dengan pelbagai modul tazkiyatul nafs dan tazkiyatul jihad sudah tentu ia amat tahan untuk di uji dengan alam selepas raya di mana syaitan dan juak-juak nya telah bebas. Terlampau banyak perkara yang aku ingin ceritakan di sini akan Ramadan yang telah aku lalui moga-moga ia menjadi peringatan untuk menghadapi Ramada yang seterusnya.

Bermula Ramadan ku dengan pelbagai mehnah menguji iman yang seakan disengajakan didatangkan untuk aku oleh Maha Esa untuk melihat hamba-Nya ini betul-betul beriman atau tidak. Soalan yang sangat subjektif jika sahabat bertanyakan pada diri ini. Aku sendiri bertanya pada diri aku sama ada Ramadan ini boleh menjadi kawasan selamat untuk iman aku atau tidak.

Ya, kadang-kadang aku terasa aku langsung tak seperti berada di dalam bulan Ramadan yang di janjikan pelbagai nikmat ganjaran beribadah dan kebajikan lantaran diri ini sentiasa di kelilingi maksiat dan dosa pada ALLAH yang Maha Melihat.

Aku yakin sahabat-sahabat tentu telah mempunyai koleksi ibadah yang amat hebat untuk dipersembahkan kepada ALLAH selepas Ramadan insya ALLAH setelah mujahadah jiwa dan nafsu sementara memang aku mengaku begitu malu bila membandingkan akan diri aku yang begitu sedikit amalan berbanding kalian.

Bila menyaksikan bibir seorang sahabat yang tak berhenti bertasbih walau ketika berbicara sama aku membuatkan aku terus terasa kerdil mengenangkan bibir ku seakan langsung tak mengingati ALLAH yang Maha Melihat.

Bila mengenangkan tangan seorang sahabat yang begitu ringan bersedekah tiap kali tabung menjengah nya menjadikan aku terus menerus terasa kerdil dengan sahabat-sahabat.

Bila mendengar taujihad dari seorang sahabat pimpinan ISIUKM berkenaan kegagalan insan di bulan RAMADAN seakan menghentam diriku yang memang gagal untuk RAMADAN ini.

Cuba memberi alasan? Rasanya tak diperlukan alasan dalam konteks ini. Insya ALLAH moga segala perkara yang aku lalui sepanjang PESTA IBADAH ini menjadi guide line kepada iman aku dan sahabat-sahabat terutama ketika berhadapan syaitan dan sekutunya.

CQ40 yang menjadi peneman ku tiap kali sendirian sering kali menewaskan iman aku. Kadang kala aku mahu tergelak mengenangkan kelemahan diriku ini. Apakan daya?

Perkara paling manis ketika Ramadan ini adalah ketika di’tamrin’kan oleh pimpinan ISIUKM dengan modul-modul pentarbiahan demi melahirkan seorang pejuang agama ALLAH yang berkualiti. Saat inilah di mana emosi dan kesabaran benar-benar teruji apabila di marahi, di herdik, di pukul, di paksa dan bermacam lagi perkara yang tak enak langsung namun bila mengenangkan perjuangan RASULULLAH SAW menjadikan aku insaf bahawa ini baru permulaan alam perjuangan, apa yang aku perlukan ialah redha dan tawakal kepada-Nya.

Ketika ini jugalah aku teringat kembali saat di’tamrin’kan ketika di matrik dahulu iaitu tamrin wida’. Betapa hampir setiap saat aku membenci detik dalam tamrin itu memandangkan emosi aku bergelojak diuji oleh abang-abang dan kakak-kakak aku. Adegan culik menculik adalah modul paling aku tak suka bilamana memerlukan aku berfikir segala aspek kerana segala keputusan pasti akan di bantai balik oleh fasilitator. Subhanallah, inilah yang dikatakan pentarbiahan.

ALLAH turut mempertemukan aku di bulan Ramadan ini dengan seorang yang sangat besar jiwanya iaitu Bro. Kamaruddin seorang pendakwah bebas dan bekas penganut Kristian.

Semangat dan tekad serta keberanian yang ALLAH kurniakan dalam diri pendakwah ini benar-benar menginsafkan diri aku. Hal ini semua terjadi apabila aku dan sahabat-sahabat seperjuangan merancang mengadakan satu forum perbandingan agama antara KRISTIAN dan ISLAM anjuran Educated Community FKAB dengan kerjasama Persatuan Persaudaraan Kristian UKM (PERKEB).

Pihak PERKEB mencadangkan Pr. Great Muller dari Indonesia dan di pihak ISLAM kami memilih untuk menjemput Bro Kamaruddin, pengasas Islamic Propagation Society International (IPSI). Aku telah di taklif kan sebagai ketua pengarah program ini begitu bersemangat mengenangkan inilah kali pertama aku dapat menyaksikan debat terbuka antara Islam dan Kristian.

Aku sangka kan panas hingga ke petang namun hujan pula di tengah hari. Bayangkan tinggal sehari lagi program itu akan berjalan PERKEB menarik diri dan menyuruh agar program ini ditunda oleh sebab-sebab teknikal. Aku naik gila ketika itu lantas dah berapa banyak aku menyumpah PERKEB atas hal itu. Mereka mempersoalkan kelulusan program dari pihak PPP serta pelbagai lagi.

Segala promosi dan publisiti telah dibuat sebelum itu dan makanan telah pun ditempah bagi majlis berbuka puasa selepas forum. Akhirnya setelah berbincang PERKEB tetap dengan keputusannya menarik diri dan kami tetap meneruskan program ini walaupun tanpa kerjasama PERKEB.

Program dijadualkan bermula pada pukul 5.00 petang sebelum berbuka puasa. Kami para koordinator program dah merancang segala perjalanan program agar tak mengalami sebarang masalah. Tup-tup sekitar pukul 10.00 pagi aku mendapat SMS dari Abg Farid mengatakan Pr. Great Muller menarik diri kerana ada masalah. Aku terus menjerit kenapa ini berlaku ketika semuanya di saat akhir.

Aku terus yakin bahawa ini adalah permainan PERKEB yang memang tak mahu program ini di jalankan malah ketika kami memberitahu bahawa kami akan teruskan program mereka terus mempersoalkan tentang paderi yang akan di jemput. Setelah berbincang dengan AJK kami akan tetap teruskan program walaupun tanpa kehadiran paderi.

Namun segala ini masih lagi dapat kami menerimanya dengan hati yang pasrah walaupun dalam keadaan yang tak redha. Pukul 12.00 tengah hari flight yang membawa Bro Kamarudin dari Penang berlepas dan dijangka tiba di KLIA dalam pukul 12.30 tgh hari. Sedang kami bersiap-siap menantikan pendakwah ini tetiba kami dimaklumkan bahawa program ini terpaksa dibatalkan serta merta atas arahan pentadbiran fakulti. Permainan apa semua ini?

Aku mula tidak mengerti. Bergegas aku, Abg Faizal dan Kak Khalisa berjumpa dengan pentadbir-pentadbir fakulti meminta penjelasan yang sebenar. Walaupun dirayu dengan mengatakan bahawa penceramah dah sampai dari Penang namun suara kami langsung tak di endah kan oleh pentadbiran fakulti.

Semua alasan yang diberikan oleh mereka ketika ditanya sebiji dengan alasan pihak PERKEB ketika mereka mahu program ini ditunda. Mereka mengugut akan mengambil tindakan jika tetap meneruskan program ini malah akan memanggil pihak keselamatan jika penceramah jemputan itu meneruskan program.

Sekitar pukul 2.00 kami berbincang akan masalah yang kami hadapi dengan Bro Kamarudin dan anak-anak buahnya. Ternyata begitu terserlah kewibawaan nya sebagai seorang pendakwah yang benar.

Kami memberitahu akan risiko yang akan di hadapi oleh kami dan penceramah sendiri jika program diteruskan lantas Bro Kamarudin dengan penuh keazaman menjawab, “Teruskan program. Demi ISLAM saya sanggup menanggung risiko ini dan akan bertanggungjawab sepenuhnya atas segala yang akan berlaku. Target saya ialah non-Muslim. Walau macam mana sekalipun saya akan teruskan berceramah, ini semua masalah undang-undang yang manusia cipta…”

Itulah jawapan Bro Kamarudin yang telah membakar semangat kami semula untuk meneruskan program setelah di uji dengan pelbagai tribulasi. Begitu tegas dan mantap responnya. Ternyata kami bagaikan langit dengan bumi berbanding dirinya. Bak kata Abg Farid, “Umpama jauh panggang dari api...”

Aku cukup bertuah dapat bersua muka dan berbicara dengannya dan merasakan itulah tarbiah rabbani dari ALLAH SWT kepada hamba-Nya. Umpama mendapat sengat yang baru kami meneruskan program itu di Dewan Kuliah 2, FKAB tanpa ada gangguan pun dan kehadiran peserta yang agak ramai meskipun bilangan non-Muslim hanyalah 7 orang namun ia cukup memberi makna yang begitu besar terutama kepada dakwah ISLAMIYAH.

Kata Bro Kamarudin, “It just small in number but give a huge meaning…”

Petang itu kami berbuka dan solat Maghrib berjemaah di Surau FKAB bersama-sama Bro Kamarudin.

Di bulan PESTA IBADAH ini jugalah aku menyaksikan keletah anak-anak kecil yang begitu tekun menunaikan solat sunat terawih walaupun mereka tidak mengerti apa-apa dari perbuatan mereka itu. Bagi aku itulah suasana yang amat harmoni berbanding bulan-bulan yang lain.

Aku turut menyaksikan ramai warga yang berumur turut rajin menunaikan ibadat sunat ini hinggakan dari yang bertongkat sehingga yang memakai kerusi roda. Nyata salam Ramadan begitu berkesan mendidik manusia.

Namun sayang sekali betapa bilangan golongan kanak-kanak dan warga emas mengalahkan golongan muda-mudi yang dikurniakan batang tubuh yang sihat untuk beribadat kepada ALLAH. Mereka lebih ‘seronok’ melayan movie di bilik-bilik, mengeluarkan peluh di gelanggang badminton berbanding berlumba-lumba merebut peluang keemasan ini.

Lagi malang sesetengah mereka langsung tak turun solat JUMAAT. Astaghfirullah, moga ALLAH mengurniakan hidayah pada kita semua.

Dalam keenakan kita melayani ibadat puasa ada juga manusia gila yang bukan setakat tak berpuasa malah dia jugalah yang mengaku Rasul Melayu. Dia yang ditangkap minggu lepas oleh JAIS dalam keadaan tengah makan. Dialah KAHAR si nabi Melayu!

Mungkin ada sahabat-sahabat yang memarahi aku kerana mengutuk binatang ini tapi aku rasa inilah selayaknya untuk binatang ini. Aku ada membaca blognya beberapa hari lepas ternyata binatang ini langsung tak insaf malah terus mengaku menerima wahyu ALLAH.

Ternyata binatang ini langsung tak takut api neraka. Dari hal ini aku mula rasa marah pada kerajaan MALAYSIA kerana langsung tak mendakwa SI BINATANG ini bawah ISA.

Kenapa?

ISA hanya untuk orang yang menentang kerajaan ke?

Kalau mereka mengatakan penggunaan ISA bertepatan dengan kaedah Fiqh mencegah kemudaratan yang lebih besar adalah lebih utama sepatutnya menahan SI BINATANG ini lebih patut dan memang patut di tahan pun kerana masalah akidah jauh lebih besar berbanding masalah perpaduan kaum atau lain-lain masalah.

Kenapa bodoh sangat kerajaan aku ini hah?

Entah, aku tidak ketemu jawapannya.

Tak cukup dengan itu Ramadan kali ini turut menyaksikan satu lawak peringkat UNIVERSAL pernah terjadi apabila DS Najib Razak mengumunkan bahawa UMNO adalah parti ISLAM. Nak pecah perut aku gelak bila mendengar lawak ini.

Ternyata Najib tak mahu kalah dengan bos-bos sebelumnya. Kalau Tun Mahathir dengan Islamilisasinya. Kalau Pak Lah dengan ISLAM HADHARInya yang akhirnya berkubur begitu sahaja tanpa apa-apa kesan selain Masjid Kristal di Terengganu. Dan kini Najib pula tidak ketinggalan dalam soal ISLAM ini.

Aku ketika mendengar menguman sendirian. Bini sendiri pun tak pakai tudung.

Malah ketika wartawan meminta komen Dewan Pemuda Pas Pusat akan kenyataan Najib ini dengan selamba jawab Naib Pemuda PAS Pusat, Al-Fadhil Ustaz Azman Syafawi, “Sila buktikan…”

Aku tergelak mendengar jawapan ini. Bukan apa, bila mengenangkan sudah tentu para wartawan terkial-kial mencari celah dan ruang agar dapat membuktikan UMNO itu parti ISLAM sebagaimana dakwa Najib.

Ketawa.

Bukan apa baru 2 hari Najib mengumunkan UMNO parti ISLAM tetiba surat khabar nasional Singapura melaporkan bahawa Mirzan Mahathir telah dilantik secara rasmi sebagai ahli lembaga pengarah San Miguel, sebuah syarikat pembuat arak terbesar di Philippines dan rantau Asia Tenggara. Sekali lagi aku gelak mengingatkan bertapa clueless Najib. Gagal. Ternyata gagal. Najib ternyata gagal.

Mirzan pula ketika ditanya wartawan akan hal ini dia menjawab, “Ini hanyalah melibatkan pengurusan syarikat dan saya cuma nak membantu San Miguel sahaja….”

Hey Mirzan, jangankan jadi ahli lembaga pengarah syarikat arak yang memakan beratus-ratus juta keuntungan. Kau jadi tukang ambil order arak di kedai makan pun punya dosa sama peminumnya. Aku bukannya nak menghukum atau apa, tapi ini hakikatnya.

“Diriwayatkan daripada Anas r.a bahawa RasululLah s.a.w telah melaknat 10 golongan yang terlibat dengan arak:
عاصرها – orang yang memerah arak
معتصرها – orang yang diminta arak diperahkan untuknya
شاربها – orang yang meminumnya
حاملها – orang yang membawanya
المحمولة إليه – orang yang meminta dibawa arak kepadanya
ساقيها – orang yang memberi minum arak kepada orang lain
بائعها – orang yang menjual arak
آكل ثمنها – orang yang mendapat hasil daripada arak
المشتري لها – orang yang membeli arak
المشتراة له – orang yang meminta dibelikan arak untuknya”
- (Riwayat Ibnu Majah dan Tarmizi)

Jadi engkau Mirzan macam mana?

Ini agaknya parti ISLAM Najib di mana arak makin dibiarkan berleluasa. Tengoklah sendiri di Pahang tempat di mana Najib menjadi lahir dan di Pahang juga lah ada pusat judi terbesar di Asia Tenggara. Sekali lagi aku gelak pada Najib.

Aduh, letih aku gelak pada pelakon-pelakon tak berbayar di atas. Semoga events di atas menjadi iktibar kepada kita semua bahawa ISLAM itu bukanlah semudah seperti apa yang terkeluar dari mulut kita. Ia memerlukan pengorbanan, mujahadah, kesakitan, kesulitan dan tawakal pada-Nya dalam memperjuangkannya.

Dalam Ramadan ini juga begitu sibuk apabila khabar angin bahawa Pilihan Raya Kampus akan berlangsung tak lama selepas raya. Sebagai persiapan aku dan sahabat-sahabat seperjuangan mula melakukan persiapan bagi menghadapi “perang” ini. Sudah beberapa malam aku tidur pukul 3.00 pagi bagi menyiapkan banner untuk calon.

Ya ALLAH bantulah gerak kerja kami agar ISLAM tertegak di bumi UKM ini. Banyak kenangan manis aku bila bersama-sama senior-senior Kejuruteraan dan bekerja bersama mereka. Ternyata mereka begitu bersemangat bekerja untuk ISLAM. Moga ALLAH merahmati mereka semua.

Inilah stand kami para pejuang mahasiswa ISLAM UKM insya ALLAH.

Moga kemenangan kali ini menjadi milik kami. Kata Abg Farid, “Kita hanya melakukan kerja, ikut lah apa yang ALLAH nak bagi….”

Subhanallah jiwa mereka jiwa pejuang…

Aku terasa kerdil berbanding mereka ini semua tambah-tambah bila membaca tulisan Abg Farid dalam blognya, Kaca Permata. Terserlah idealisme sebagai seorang mahasiswa yang tulen.

Kami bukan gembala yang dicucuk hidung, dipasung ke sana dan ke mari. Kami manusia yang perlukan ruang untuk matang dan berdikari. Berilah kami tempat untuk dilayan seperti manusia, bertatih, berjalan, dan kemudiannya dibiarkan berlari.

Inilah sedikit petikan kata-kata Abg Farid yang aku copy dari blognya. Bagi aku dia seorang yang cukup berani dan seharusnya aku mencontohinya, insya ALLAH!

Pilihan raya kali ini menyaksikan pertembungan antara Aspirasi dan Gabungan Mahasiswa UKM. Aku agak excited juga mengenangkan hal ini walaupun sedar akan final exam aku just around the corner.

Ketika sibuk dengan persiapan menghadapi pilihan raya, terkeluar pula tentang isu MEMALI yang menyaksikan syahid nya Al-Fadil Ustaz Ibrahim Libya dan 13 orang sahabatnya. Cerita ini telah menaikkan semangat aku untuk terus berintima’ dengan jemaah Islam ini. Insya ALLAH aku akan cuba tuliskan satu artikel berkenaan Peristiwa Memali dalam blog ini selepas aku mendapat maklumat yang cukup.

As-syahid merupakan seorang penasihat agama Islam di Pusat Islam Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya bertukar menjadi guru agama di Pondok Memali dan juga calon PAS dalam pilihan raya umum seterusnya dipilih ALLAH sebagai syuhada yang dijanjikan Jannatul Firdaus….

Kalian boleh mendengar petikan ucapan As-syahid dalam YouTube.



Satu perkara yang ramai anak muda sekarang tak tahu langsung kebenarannya akibat mainan jahat RTM dan sekutunya.

Akhir-akhir ini pula aku sibuk search and downloads video tentang The Lucky Laki Band, sebuah band kanak-kanak yang dianggotai oleh ketiga-tiga orang anak Ahmad Dhani, vokalis utama Dewa 19 iaitu Al, El dan Dul.


Hits mereka terkini dan yang pertama ialah Bukan Superman. Ternyata kanak-kanak ini dianugerahi ALLAH bakat yang begitu luar biasa. Aku begitu mengagumi Al bila menyaksikan kehebatannya bermain gitar. Bukan semua seusia dengannya mampu melakukan sepertinya.

Bakatnya memang semula jadi seperti mana katanya ketika ditanya wartawan semasa dia dan adik beradiknya membuat persembahan di Malaysia. “Buah jatuh tak jauh dari pokoknya,” ujar Al. Ada benarnya.

Ayahnya Ahmad Dhani adalah seorang vokalis utama Dewa 19 yang terkenal dengan vokalnya yang mantap dan bakatnya ini telah pun diwarisi Dul anak bongsunya sebagai vokalis utama The Lucky Laki Band ini.

Aku mendoakan agar Al dan adik beradiknya mendapat cahaya yang sepatutnya kerana mereka masih lagi mentah. Benarlah sabda RASULULLAH mafhum nya,

“Anak Adam itu lahir dalam keadaan putih bersih dan ibu bapa merekalah yang menjadikan mereka Islam, Yahudi atau Nasrani”

Jujur nya aku sendiri suka mendengar lagu mereka Bukan Superman itu.

Akhir sekali sebelum aku menamatkan penulisan ini ingin sekali aku mengucapkan:

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI!


Semoga ALLAH merahmati kita dan melimpahkan keredhaan di atas segala kebaikan yang telah kita lakukan. Mohon diampunkan segala kesilapan sama ada sedar atau tak sedar sepanjang persahabatan kita. Pastikan kalian dah membayar zakat fitrah yang difardukan ke atas diri kalian.