Saturday, August 22, 2009

Andai Ku Tahu ini Ramaḍān Yang Terakhir

“Sesiapa yang puasa di bulan Ramadan, kerana iman dan mengharapkan ganjaran, maka diampuni dosa-dosa yang telah lalu” 
(Hadis riwayat Muttafaq ‘alaih)

Alhamdulillah ALLAH masih lagi memberi peluang dan ruang pada kita sebagai hamba-Nya menerokai sekali lagi bulan yang penuh barakah ini yakni RAMADAN. Saya menerima beberapa mesej dari sahabat-sahabat seperjuangan mengingatkan akan kelebihan dan untungnya kita dipilih ALLAH sekali lagi menjadi tetamu Ramadan 1430H berbanding segolongan manusia yang ALLAH menutup hatinya terhadap nikmat ini.

Kita sering berbicara akan kelebihan Ramadan terutama tibanya bulan tersebut sedangkan kita lupa akan kemiskinan iman kita dalam mempersiapkan diri menghadapi Ramadan. Oleh itu saya menyeru pada diri sendiri dan para sahabat agar kita sentiasa menilai iman kita adakah cukup mantap untuk diuji ALLAH sepanjang Ramadan.

Maksud saya bukanlah ujian tak makan dan minum tetapi ujian bagaimana nak dapatkan puasa rohani dan jasmani. Bukan sekadar menahan lapar dan dahaga atau bukan sekadar melabur duit di bazar-bazar Ramadan. Bukan sekadar menghadiri majlis berbuka puasa, tetapi puasa yang sebenar adalah sejauh mana kita mampu melawan anak didik syaitan yang sentiasa menjadi pembantu kanan syaitan serta telah dididik selama 9 bulan sebelum syaitan dirantai.

Mampu atau tidak itulah persoalan kita sebenarnya. Saya teringat kata-kata seorang sahabat ana ketika di matrikulasi dulu, katanya, “Berjaya atau tidak kita di bulan Ramadan adalah bergantung pada sejauh mana hebatnya amalan kita di luar bulan Ramadan.”

Lumrahnya, kita sering lupa akan hakikat ini. Pada kita Quran hanya perlu khatam pada bulan Ramadan. Tahajjud hanya 10 malam terakhir Ramadan. Jaga mata, jaga hati hanya di bulan Ramadan. Berjemaah di masjid pada solat Isya’ hanya di bulan Ramadan.

Ini mind-set yang telah berjaya di set-up secara tetap dalam diri kita. Saya mengajak sahabat-sahabat berfikir kalau inilah bentuk amalan kita adakah kita mampu menjadikan Ramadan itu sebagai madrasah tarbiah untuk diri kita?

Bagaimana pula cita-cita LAILATUL QADAR?

Ya ALLAH inilah rupa sebenar kami yang begitu fasiq. Kami hanya pandai berbicara, hanya pandai bercita-cita sedangkan kami langsung tidak mempunyai kesungguhan pada-Mu ya ALLAH.

Saya menulis begini bukan bermaksud kita tidak perlu beramal pada bulan RAMADHAN ini. Jadikan ia sebagai satu peluang untuk kita memperbaiki diri kita yang telah rosak teruk. Cuma kadang-kadang kita alpa akan hakikat ini. Samalah juga FENOMENA biasa dalam masyarakat kita iaitu terlalu mementingkan yang sunat sedangkan yang wajib terabai.

Sahabat-sahabat faham?

Pernah tak kita mendengar dialog ini, “Eh, engkau tak pergi ke tarawih tadi? Kenapa dengan engkau ni…” Bagus saya ucapkan pada sahabat yang mengingatkan akan solat SUNAT tarawih yang memberi makna kita ini orang yang kuat beribadat kerana tarawih itu 8 rakaat. Tapi malangnya kita tak mendengar dialog seperti ini,

“Kenapa tak bangun subuh tadi? Dah kejutkan berkali-kali. Kenapa dengan engkau ini? Nak jadi apa?”

Atau dialog begini,

“Eh, esok pagi kejutkan aku sekali nak SAHUR”

Sahur yang dia ingat? Subuh di mana?

Pernah tak kita dengar dialog semacam ini?

Kenapa kita bersemangat melakukan yang sunat sedangkan yang wajib berciciran. Bukan salah melakukan ibadat sunat tapi kalau yang wajib tak terlaksana apa nasibnya. Kenapa di luar Ramadan kita liat sangat-sangat nak bangun subuh?

Atau stay lama sedikit di masjid buat solat sunat lepas Isya’? Sebenarnya benda ini langsung tak pelik kerana seperti yang ana katakan tadi kita menyambut Ramadan dalam keadaan iman kita tidak bersedia.

Sebab itu la ada sahabat-sahabat kita yang bangun sahur tetapi terus tidur tanpa solat subuh dahulu atau berpuasa tapi langsung tak jaga solat fardhu 5 waktu sehari semalam.

Atau berpuasa tetapi still keluar dating dengan kekasih masing-masing.

Atau berpuasa tetapi tak mampu berpuasa dari mengumpat, memfitnah dan menyakiti orang lain.

Atau berpuasa tetapi aurat terus tak terjaga.

Atau berpuasa sedangkan KITA LANGSUNG TAK TAHU APA MAKNA KITA MELAKUKAN IBADAT ITU SENDIRI!

Inilah yang sering berlaku pada diri sendiri moga-moga ALLAH memberi keampunan pada kita semua.

Bila membicarakan topik ini terasa begitu hina apatah lagi mengenangkan betapa apa yang disebutkan di atas semuanya bagaikan memulangkan buah keras ke atas kepala sendiri. Saya cuma sebagai sahabat yang ingin berkongsi pandangan dan nasihat bersesuaian dengan konsep “Berpesan-pesanlah kamu ke arah kebenaran, berpesan-pesanlah kamu ke arah kesabaran.”

Insya ALLAH moga-moga ALLAH menerima semua amalan kita selama ini dan sentiasa mendapat keampunan-Nya. Di sini saya ingin berkongsi e-mel yang saya terima dari seorang sahabat semalam yang mengingatkan diri sendiri akan tugas serta tanggung jawab untuk menjadikan Ramadan kali ini bagaikan yang terakhir dalam hidup saya,

Andai Ini Ramadan Yang Terakhir


Wahai insan, renung lah engkau akan nasib diri
Wahai kalbu, sedarkah engkau akan gerak hati
Wahai akal, terfikir kah engkau akan apa yang bakal terjadi
Andai ini merupakan Ramadan ku yang terakhir kali
Buat ku sekujur jasad yang bakal berlalu pergi
Tatkala usia bernoktah di penghujung kehidupan duniawi
Pabila tiba saat tepat seperti yang di janji Ilahi
Kematian, adalah sesuatu yang pasti…
Andai ku tahu ini Ramadan terakhir
Tentu siangnya aku sibuk berzikir
“A’la bizikrillahi tatmainnal qulub”
[Bukankah dengan berzikir itu hati akan menjadi tenang]
Biarpun anak tekakku kering kehausan air
Tentu aku tak akan jemu melagukan syair
Rindu mendayu..
Merayu…
Kepada-NYA Tuhanku yang satu…
Andai aku tahu ini Ramadan terakhir
Tentu solat ku dikerjakan di awal waktu
Solat yang dikerjakan
Sungguh khusyuk lagi tawaduk
Tubuh, minda, dan kalbu…bersatu memperhamba diri
Mengadap Rabbul Jalil…
Menangisi kecurangan janji
“Innasholati wanusuki wamahyaya wamamati lillahi rabbil ‘alamin”
[sesungguhnya solat ku, ibadah ku, hidup ku, dan mati ku diserahkan hanya kepada Allah Tuhan seru sekalian alam]
Andai aku tahu ini Ramadan terakhir
Tidak akan aku persiakan walau sesaat yang berlalu
Setiap masa tak akan dipersia begitu saja
Di setiap kesempatan juga masa yang terluang
Alunan Al-Quran bakal ku dendang, bakal ku syair kan
Andai ku tahu ini Ramadan terakhir
Tentu malam-Mu aku sibukkan dengan
Bertarawih…
Ber Qiamullail…
Bertahajjud…
Mengadu…
Merintih…
Meminta belas kasih….
“sesungguhnya aku tidak layak untuk ke syurga-MU tapi…
aku juga tidak sanggup untuk ke neraka-MU”
Oleh itu duhai Ilahi…
Kasihanilah daku hamba-MU yang…
Hina..
Daif..
Jahil..
Lagi Banyak Dosa ini..
Menikmati bulan yang dirindu oleh nabi dan sahabat-Nya..
Moga setiap langkah ku zuhud kepada MU..
Moga ku istiqamah di Ramadan ini..
ANDAI AKU TAHU INI RAMADAN TERAKHIR…

Moga-moga bingkisan kecil ini mampu menjadi pedoman buat diri sendiri dan sahabat-sahabat dalam mengharungi Ramadan kali ini dengan penuh iltizam dan natijah yang baru. Insya ALLAH.

Sunday, August 16, 2009

Horsemanship and Equestrian

Huh, 3 hari lepas aku seolah mayat bergerak apabila terpaksa menghadiri kelas ko-kurikulum berturut-turut selama 2 hari, bermula petang Sabtu 2:30 pm hingga 6:30 pm dan bersambung pula pagi Ahad dari 8:30 am hingga 12:30 pm bagi menggantikan kelas pada bulan Ramadan nanti.

Instructor aku, Mr. Mutusamy begitu prihatin bimbang jika kelas pada bulan puasa menyebabkan kami cepat penat terutama ketika sesi di tengah padang yang panas terik. Semuanya akibat kedegilan kami untuk menyertai kelas HORSEMANSHIP and EQUESTRIAN. Memang tidak dinafikan betapa penat dan lelah terutama ketika membersihkan dan menyiapkan stable iaitu kandang kuda.

Di sini aku ingin berkongsi sedikit pengalaman aku yang mula belajar tentang dunia kuda kepada pembaca. Aku agak bertuah kerana sempat mendaftarkan diri melalui SMP Web ke dalam kelas ini kerana ketika aku mendaftar cuma tinggal 2 lagi tempat kosong daripada 30 orang pelajar. Tambah-tambah bila mengenangkan bermain kuda juga merupakan salah satu sunnah RASULULLAH menjadikan aku makin bersemangat untuk mempelajari dan menyantuni binatang perang ini.

Oleh kerana UKM tidak mempunyai ladang kuda sendiri terpaksalah aku dan kawan-kawan aku pergi ke Pangkalan Tentera Udara Kuala Lumpur setiap hujung minggu. Di sini kami di bawah bimbingan instructors dari The Malaysian Armed Forces Equestrian Centre (MAFEC). Berbagai jenis kuda aku dapat kenal seperti gambar yang atas namanya Abang Andika, kuda yang paling tua yang berumur sekitar 13 tahun.

Inilah beberapa gambar yang aku sempat tangkap sewaktu pembelajaran berlangsung.

Bergambar di stable kuda

Salah seorang instructor MAFEC

Roman Ghost, juga antara kuda veteran

Ini saddle untuk Abang Andika

Teruna di sisi kanan itu Khoiri
Itulah beberapa keping gambar aku bersama kuda-kuda masa kelas berlangsung. Sebenarnya aku tengah berusaha mendapatkan sijil O-LEVEL iaitu Basic Horse Management Certificate yang melayakkan aku bekerja part-time or full-time di kelab-kelab poni atau pusat jagaan kuda.

Tapi, sijil tu macam nak ambil lesen kereta. Selain simulasi, aku dan kawan-kawan sekelas akan diuji oleh beberapa orang jurulatih berkenaan pengurusan kuda seperti macam mana nak pasang bridle pada kuda, bagaimana nak pasang saddle pad pada belakang kuda, mengetahui jenis-jenis saddle seperti jumping saddle, dressage saddle, racing saddle dan banyak lagi, menunjukkan cara yang betul membersihkan stable atau kandang kuda, macam mana nak grooming kuda selepas training, mandikan kuda, memasang head collar pada kuda sebelum lead dan banyak lagi.

Nasib baik semua jurulatih baik-baik and sporting. Aku seringkali teringatkan bagaimana Rasulullah dan para sahabat berperang menggunakan kuda. Tentu corak penjagaan kuda lebih baik berbanding apa yang aku belajar sekarang. Walau bagaimanapun, setelah mengetahui sedikit sebanyak tentang penjagaan kuda aku mula mempersoalkan kenapa kuda yang begitu kuat perlu diperlakukan sedemikian?

Bayangkan jika seekor kuda competition perlu dibalut itu ini seperti ladam, boot, head cap dan pelbagai aksesori lagi jika tidak mahu mengalami sebarang kecederaan. Manja bukan?

Kuda zaman Rasulullah macam ini juga ke?

Kena mandikan, grooming, selimutkan masa tidur, pasang kipas supaya tidak diganggu nyamuk, bersihkan kuku kaki, trim bulu lehernya bagi nampak kemas dan macam-macam lagi yang semuanya membuatkan kuda itu lemah.

Secara peribadi aku tak bersetuju dengan corak penjagaan kuda yang diamalkan pada masa sekarang. Jikalau aku memiliki kuda nescaya aku akan train menjadi lasak dan mampu hidup segar walaupun tiada layanan kelas VIP macam aku sebut di atas. Betul kita tidak boleh terlalu manjakan diri kita dengan perkara-perkara mudah sebaliknya kita perlu mencabar dan dicabar. Kalau kita mengimplementasikan apa yang aku ceritakan dalam hidup kita tentu amat tally konsepnya.

Sama juga dalam perjuangan ISLAM sepatutnya kita selalulah mencabar diri kita agar terus berani menghadapi mehnah dan tribulasi bukannya selesa dengan sistem yang ada sekarang ini. Walaupun seekor kuda itu ALLAH jadikan sebagai seekor binatang yang kuat dan lasak tetapi akibat salah asuhan kelihatan kuda sekarang amat pantang jika kita terlupa bagi vitamin atau mandi mula mogok dan kelihatan tak sihat.

Kenapa kuda liar dalam kelompoknya tak kira di mana sahaja sama ada Arab, Mexico, Amerika atau kampung aku sendiri tidak pernah aku tengok skinny, mogok atau keracunan makanan kerana tak cukup vitamin dan lain-lain selama ini?

Pelik bukan? Itu pendapat aku jika kita terbiasa senang jika satu masa kita tersepit tentu kita tak mampu buat apa-apa.

Pengajarannya, dalam hidup seorang Muslim kita perlu sentiasa mencabar terutama ketika berhadapan dengan sistem hidup sekular yang semakin mencabar minda dan iman sebagai seorang hamba kepada ALLAH. Jadi sentiasalah kuatkan diri dengan idealisme, cita-cita, pengorbanan, ilmu dan masa rehat demi usaha kita membantu ISLAM tegak di bumi ALLAH ini.

Kita sorot bagaimana kehidupan Sayyid Qutb yang penuh dugaan sehinggakan beliau pernah diikat pada anjing dan diseret mengelilingi penjara sambil dikejar oleh beberapa ekor anjing penjara lalu digigit nya. Semata-mata beliau melawan sistem sekular ketika itu.

Jadi kita bila lagi? Sama-samalah kita menguatkan keimanan kita pada ALLAH agar dia membantu niat suci kita ini. Insya ALLAH.

Saturday, August 15, 2009

Bukan Ketajaman Yang Menjadikan Katana Ditakuti

“Pedang jepun atau KATANA tidak akan membawa sebarang makna jikalau kita cuma menilai dari segi material yang digunakan untuk membuatnya,” ujar jurulatih taekwondo ku, Sir Chauw Proom Wichit sambil menghela nafas.

Dia menyambung lagi, “atau ketajamannya yang mampu memotong segala sesuatu hatta besi sekalipun tetapi,” dia berhenti seketika seolah mencari idea.

Kemudian, dia melontarkan kepada kami soalan, “Apa yang membuatkan KATANA begitu hebat apatah lagi bila berada dalam genggaman seorang samurai..?”

Kami semua terdiam, memandang antara satu sama lain seolah cuba mencari jawapan di wajah pelatih yang lain.

Jurulatih kami mengangguk tersenyum dan terus menyambung, “Ya, tak lain ialah SPIRIT yang ada pada samurai itu yang dijelmakan melalui gerakannya yang akhirnya membuahkan satu pukulan yang maha dahsyat.”

Itulah kata-kata jurulatih taekwondo aku selepas habis latihan semalam. Dia membawakan perbandingan antara semangat katana dan taekwondo. Aku terfikir kata-kata itu sepanjang hari ini nyata ia mempunyai maksud yang cukup mendalam.

Tambah jurulatih ku lagi, begitu juga manusia yang mempunyai tubuh badan yang sihat serta akal yang begitu tajam namun tidak mempunyai semangat yang kuat pasti tersungkur juga akhirnya.

You know about F1 car? You know how strong the F1 car body kit to prevent the wind and accident? You know how fast F1 car engine when it on the track?

Dia melontarkan satu demi satu soalan kepada kami.

But try you think what happen if the super great F1 car does not fill up with fuel? Ok, we compare our body to the F1 car. Strong and great body kit that mean strong body. Super powerful and fast engine mean that the sharp and straight mind. But if the car does not have fuel it will never move anymore that mean it does not have spirit anymore. Same like us, we know the spirit is much important but we did not know the source of spirit. In taekwondo what the matter that push yourself to commit in each training no matter how hard, horrible and hurt that training is your RESPONSIBILITIES to your body and mind. You feel responsible to attends the training, always try your best in competition is because of that thing same like F1 car, fuel is its source of spirit to move its engine.

Jurulatih aku mengibaratkan diri kita dengan sebuah kereta F1 untuk menunjukkan pertalian antara BODY, MIND and SPIRIT.

Dengan adanya semangat yang kuat akan melahirkan perancangan yang jitu dalam diri kita. Walaupun jurulatih ku itu bukanlah seorang Muslim namun kata-katanya penuh hikmah dan kebijaksanaan.

Aku secara jujur nya akan sentiasa bersemangat bila mendengar dia memberi nasihat pada kami para anak buah selepas tamat latihan. Dari sini aku teringat kata-kata senior ku di Matrikulasi dulu, Abang Zul, “Sesungguhnya islam itu bukan semangat tapi amanah.”

Sampai sekarang aku menyemat kata-kata itu dalam hatiku sebagai ingatan ketika aku alpa. Tentu sahabat-sahabat pelik kenapa aku dari bercerita tentang katana pergi ke F1 terus ke taekwondo dan sekarang ini pasal ISLAM pula.

Ada kaitan ke?

Ya, pada aku ia amat berkaitan terutama bila kita berbicara tentang semangat atau spirit.

Jika kita mengatakan bahawa bagi seorang samurai, katana adalah sumber serta lambang semangat tidak kira bila dan di mana sekalipun.

Begitu juga kereta F1 minyak adalah sumber spirit yang membolehkan ia berfungsi. Malah budak-budak taekwondo mampu memberi komitmen sepenuhnya semasa latihan adalah disebabkan rasa tanggungjawab yang menjadi sumber semangatnya.

Maka, dalam kita memperjuangkan Islam kita juga perlu bersemangat tapi apakah sumber semangat yang betul itu?

EMOSI atau AMANAH yang menggerakkan kita selama ini?

Dari sinilah kita cuba renungkan kembali di manakah posisi kita yang sebenar. Jika kita berjuang atas dasar semangat emosi nescaya ia tidak akan bertahan lama malah jika berterusan ia akan membawa akibat dan kesan yang buruk pada ISLAM itu sendiri.

Berlainan jika kita berjuang atas dasar semangat amanah yang di taklif ke atas kita sejak baligh sudah tentu kita akan mampu bertahan tidak kira walau apa pun mehnah dan tribulasi yang menghalang kita. Inilah yang dimaksudkan Abang Zul tadi bahawa ISLAM itu bukan semangat tetapi AMANAH.

Tapi malangnya fenomena hari ini menyaksikan ramai umat Islam bangkit berjuang apabila timbul isu sensitif sahaja seperti isu karikatur menghina RASULULLAH SAW, isu serangan Israel ke atas Palestine, isu pembunuhan Marwa ar-Sharbinie dan beberapa isu itu sahaja tetapi apabila isu tersebut sejuk semangat KENTAL umat Islam mula beku sedikit demi sedikit sebelum terkubur begitu sahaja..

Inilah semangat EMOSI.

Aku menulis ini adalah untuk memperingati diriku sendiri dan para sahabat agar kita muhasabah balik diri kita moga-moga kita meletakkan asas semangat kita pada tempat yang betul. Berjuang dalam Islam matlamatnya adalah mardhotillah tapi jika pemangkin kita adalah benda yang salah adakah tercapai hasrat itu?

Ya ALLAH, ampuni lah dosa hamba-Mu ini yang seringkali gagal menjadikan engkau sebagai sandaran aku ketika berjuang di jalan-Mu.

Begitulah sahabat-sahabat ku dalam perjuangan ini ada benda yang perlu kita sentiasa update agar cita-cita kita dengan RABBUL IZZATI tercapai. Aku bertuah sepanjang musafir ku menuntut ilmu di negeri orang sejak dari Matrikulasi Melaka sehingga berjaya menjejak kaki di UKM aku sentiasa didampingi orang-orang yang hebat dan dikasihi ALLAH untuk membimbing aku.

Walau aku tersungkur ada mereka yang sudi menarik tangan aku bangkit semula.

Jika aku terhincut-hincut dihempas badai ujian, ada lagi insan yang sudi memimpin ku bertatih.

Ya ALLAH inilah nikmat-Mu yang aku sering lupa untuk mensyukurinya setiap waktu. Tetapkan lah hati kami dalam perjuangan-Mu ini ya ALLAH selagi engkau masih lagi memberi peluang kepada kami menghirup udara-Mu di dunia ini .

Insya ALLAH.

Thursday, August 13, 2009

Suara Suci Mahasiswa

Alhamdulillah walaupun terkejar-kejar petang tadi habis kelas pukul 6 tapi ALLAH masih lagi memberi kesempatan untuk menghadiri usrah yang diadakan di FSSK oleh Abg Farid, senior Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina. Sungguh, walaupun saya cuma sempat mendengar pengisian tak sampai 30 minit namun telah memberi kesan yang mendalam pada diri saya selaku seorang mahasiswa baru.

Antara perkara yang disentuh oleh Abg Farid ialah bagaimana para sahabat yang berani menyampaikan kebenaran walaupun baru sahaja memeluk Islam dan menunaikan perintah ALLAH tanpa kompromi sebagai contoh bagaimana para sahabat apabila mendengar perintah larangan arak terus memecahkan botol-botol arak di tangan masing-masing malah memuntahkan balik arak yang telah di minum itu.

Cuba bandingkan pula dengan diri kita, walaupun ketika program atau ceramah semangat membara-bara untuk membantu islam namun sekejap sahaja selepas tamat ceramah semangat itu terus hilang entah ke mana. Tambah-tambah bila mengenangkan cota-cota kayu FRU dan gas pemedih mata semangat kita terus menguncup bagaikan semalu dilanggar gajah.

Berbalik semula pada konsep kita sebagai seorang mahasiswa seharusnya semangat para sahabat ini patut ada dalam diri kita agar kita mampu meneruskan kelangsungan dakwah di muka bumi ini. Tegas Abg Farid tambah-tambah suara mahasiswa ini masih lagi suci kerana tidak mempunyai kepentingan pihak-pihak tertentu lagi.

Jadi sepatutnya kita merebut peluang ini untuk kehadapan mendepani segala isu masyarakat tidak kira walau apapun kedudukan kita. Saya teringat kata-kata Abg Idris, Presiden ISIUKM ketika dia mengadakan pertemuan dengan ahli-ahli baru ISIUKM,

“Seorang mahasiswa itu hebatnya terletak pada 4 penjuru utama iaitu 1st, mahasiswa adalah orang muda yang mempunyai fizikal yang matang, sihat dan kuat untuk berkhidmat pada agama dan masyarakat… 2nd, mahasiswa mempunyai cita-cita yang besar yang tentunya menjadi pemangkin kepada kemahuan untuk menuntut sebanyak mungkin ilmu pengetahuan bagi melengkapkan diri ke arah insan yang tinggi ilmunya... 3rd, mahasiswa merupakan aset penting kepada masyarakat yang mana di bahunya terpikul sejuta harapan terutamanya harapan ibu bapa dan agama… 4th, sudut mahasiswa yang terhebat ialah idealisme seorang mahasiswa itu sendiri dalam mendepani isu-isu rakyat dan menjadi sumber check and balance bagi sesuatu isu yang melanda masyarakat serta menjadi agent of change dalam masyarakat keseluruhannya” 
Ustaz Idris, Presiden ISIUKM 09-10

Jadi tidak hairanlah jika banyak pihak lebih suka menjadikan mahasiswa sebagai sumber rujukan utama mereka dalam menjalankan pelbagai kajian dan pelantar utama mereka dalam sesebuah isu seperti isu PPSMI.

Namun dalam meniti situasi begini timbul pula istilah MAHASISWA LESU yang menggambarkan ketidakcaknaan para mahasiswa kini terhadap isu-isu terkini.

Mengapa ini boleh berlaku?

Salah siapa? Kementerian Pengajian Tinggi kah? Ibu bapakah? Pengurusan universiti ke? PMUKM kah?

Pelbagai soalan bermain diminda kita apabila menyentuh isu ini. Itulah yang menjadi persoalan utama pada kita sekarang ini. Mungkin kita patut merindui zaman kebangkitan mahasiswa lewat 60-an hingga lewat 80-an yang berjaya melahirkan tokoh masyarakat seperti Anwar Ibrahim, Ustaz Idris Ahmad, Hisyamudin Rais, Saifuddin Nasution dan ramai lagi.

Itu baru kita melilau di Malaysia, belum lagi kita menyorot kebangkitan mahasiswa di negara luar yang menghasilkan sebuah revolusi dan menggulingkan pemerintah ketika itu. Kita lihat bagaimana kebangkitan mahasiswa islam di Algeria melalui Front Islamic Salvation (FIS) yang akhirnya menggulingkan kerajaan diktator yang menjadi kuda tunggangan Perancis melalui pilihanraya.

Kita lihat juga kebangkitan mahasiswa di Russia dalam Revolusi Bolsevik akhirnya berjaya menumbangkan rejim komunis di sana. Kita lihat pula bagaimana mahasiswa di China yang diketui oleh Mou Tzi Tong berjaya menumbangkan diktator ketika itu.

Jiran terdekat kita, Indonesia menyaksikan kebangkitan mahasiswa menentang Belanda yang diketui Sukarno berjaya menuntut kemerdekaan dalam keadaan bermaruah. Iitulah sedikit coretan dan sorotan sejarah kebangkitan mahasiswa di dunia ini.

Saya tertanya pada diri sendiri bila lagi saya mampu menjadi seperti mereka dalam mengetuai kebangkitan mahasiwa menentang pelbagai kezaliman di Malaysia ini.

Insya ALLAH, moga ALLAH memberi kekuatan pada kita untuk kita berhijrah mengubah diri kita dan moga-moga kita dapat mengubah masyarakat di sekeliling kita.

This is a TIME TO CHANGE.

Masanya sudah tiba untuk kita mengimplementasikan sirah Rasulullah dan sahabat bagi menguatkan lagi roh perjuangan kita. Menjadi seorang mahasiswa merupakan satu anugerah ALLAH pada kita untuk kita meningkatkan keupayaan kita agar kita mampu menghadapi segala mehnah dan tribulasi pabila kita tercampak ditengah-tengah masyarakat nanti.

Wallahualam.

Friday, August 7, 2009

Namanya Islam Namun Jiwanya Athies

Pernah kah kita mendengar frasa di atas ?

Inilah yang berlaku pada diri kita dalam keadaan kita langsung tidak menyedarinya. Saya bukanlah seorang yang patut membicarakan hal ini tetapi mengenangkan akan diri yang selalu tertewas dek nafsu dan iblis, terpanggil untuk mencoret secebis catatan hina moga ALLAH SWT memberkatinya.

Saya nak berkongsi satu cerita sebelum mengorak dengan lebih jauh lagi dalam catatan ini iaitu cerita seorang tok guru dengan 2 orang anak muridnya. Senior dan junior.

Alkisah nya bermula pabila anak murid senior mendapati tok gurunya lebih kasihkan junior berbanding dirinya. Pada suatu hari ketika mereka bertiga duduk bersama, si senior pun bertanya pada gurunya akan kenapa dia tidak mendapat kasih sama macam junior nya.

Gurunya tersenyum sambil berkata, “Wahai anak murid ku, sebelum aku menjawab soalan itu aku mahu kalian menyelesaikan tugasan yang akan aku berikan ini terlebih dahulu. Kemudian aku akan jawab soalan itu.”

Serentak anak muridnya bertanyakan apakah tugasannya. Tok guru menjawab, “Aku akan bagi pada kamu ayam seekor seorang dan aku nak kamu pergi sembelih ayam itu di tempat di mana tidak ada sesuatu pun melihatnya. Petang nanti bawa kepada aku ayam yang telah siap di sembelih itu.”

Lalu kedua dua anak muridnya pergi mencari tempat untuk menyembelih ayam sambil memastikan tidak ada seekor makhluk ALLAH pun melihat mereka. Apabila petang menjelma kembalilah kedua-dua murid itu dengan memegang ayam masing-masing. Tok guru pun datang untuk memeriksa ayam yang telah disembelih itu. Dia mendapati murid junior nya tidak melaksanakan tugasan yang diberinya itu.

Lalu dia segera bertanya pada anak muridnya itu, “Wahai murid ku kenapa kau tidak menyembelih ayam itu sebagaimana aku suruh?”

Jawab anak muridnya yang muda itu, “Wahai guru ku, sesungguhnya aku tidak menyembelih ayam ini kerana aku tidak menjumpai walau satu tempat pun yang mampu menghalang penglihatan ALLAH atas perbuatan ku sedangkan kau mensyaratkan agar ayam itu disembelih di tempat yang langsung tidak mampu di lihat oleh satu apa pun.”

Lantas tok guru tadi tersenyum mendengar jawapan muridnya itu lalu berkata pada murid seniornya, “Nah sekarang aku telah memberi jawapan kepada soalan mu tadi kenapa aku lebih kasihkan junior mu berbanding diri mu.”

Murid senior terdiam dan sedar akan kesilapannya selama ini lantaran apa yang terjadi tadi.

Nah, sekarang di sisi manakah kita berada?

Seperti murid senior kah atau murid junior?

Inilah yang di maksudkan ana betapa dalam kita merasakan diri kita ini sudah cukup Islam tetapi banyak masa dan ketika kita langsung tidak menyedari kewujudan ALLAH bahkan walaupun kita tahu ALLAH melihat segala perbuatan tetapi kita langsung tidak merasa takut untuk membuat mungkar terhadapnya.

Ya, betapa malangnya hidup kita seharian jika kita terus buta dan tidak menyedari penyelewengan yang telah kita buat itu.

Mungkin inilah masa untuk kita merenung kembali firman ALLAH dalam surah Al-Anfal ayat 2 yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman adalah mereka yang apabila disebut nama ALLAH gementar hatinya dan apabila dibacakan ayat ayat-nya kepada mereka, bertambah kuat imannya dan hanya pada tuhan mereka bertawakal.”

Cuba kita bandingkan keadaan orang yang disebutkan ALLAH dalam ayat tadi dengan diri kita.

Adakah kita mempunyai ciri-ciri tersebut?

Masya ALLAH. Nauzubillah, jauh sekali.

Jauh sekali.

Betapa jauhnya diri kita terutama diri pencatat yang hina ini dengan ALLAH SWT.

Kita tak lekang waktu solat. Kita tak tinggal berjemaah di masjid. Kita tak miss puasa sunat. Kita sentiasa berdoa mohon hidayah. Tapi mengapa kita terus leka dalam kemaksiatan lain?

Ya ALLAH bagi lah petunjuk pada hamba-Mu ini. Tetapkan lah hati hamba-Mu ini dalam agama mu ya ALLAH. Sesungguhnya hamba-Mu ini jauh tersesat dalam dunia yang penuh kejam ini.

Sesungguhnya aku mencatat ini hanya mengharapkan REDHA MU YA ALLAH. AMPUNKANLAH HAMBA MU INI YA ALLAH.

Tuesday, August 4, 2009

Pengenalan dan Penafian

"Time To Change" diilhamkan hasil tsunami perubahan politik dan 'mind-setting' daripada masyarakat yang beriman bahawa cuma UMNO/BN sahaja yang mampu menyelamatkan dan memberi makan kepada rakyat Malaysia kepada sebuah masyarakat yang mula mengenal erti merdeka di tanah air sendiri tanpa perlu dikongkong oleh kebejatan tirani pihak yang sedang memerintah Putrajaya sekarang.

Blog "Time To Change" mula dibina pada Ogos 2009 atas kapasiti sebagai sebuah laman blog peribadi penulis, Saudara Ahmad Tajuddin Abdullah atau lebih senang dengan panggilan ATA sebagai salah sebuah platform untuk penulis memberi pandangan dan ulasan terutama dalam isu yang membabitkan hak dan keadilan dalam masyarakat di Malaysia.

Juga menjadi tempat perkongsian pengalaman dan peribadi untuk dijadikan pengajaran dan sempadan kepada semua pembaca.

Saya jelaskan awal-awal, tulisan saya lebih terarah kepada politik di Malaysia. Jika pembaca tidak selesa dengan landskap tulisan di sini, anda mempunyai hak yang sepenuhnya untuk tidak singgah dan membaca mana-mana bahagian dalam blog ini. Saya tidak paksa anda baca blog ini, dan anda jangan paksa saya mengikut citarasa dan selera anda!

Penulis boleh dihubungi melalui:
  1. Twitter: @tajuddinabd  
  2. Facebook: fb.me/tajuddinabdullah 
  3. Google+: +Ahmad Tajuddin 
  4. Atau terus melalui komen di artikel terbaru blog ini.
Saya amat menghargai setiap komen dan kritikan yang diutarakan oleh pembaca. 

ATA

Monday, August 3, 2009

Why Not Now?

Give a second to think about Islam...
How much you are ready yourself to be mujahideen?
This is a time to change our self...
Insya ALLAH...