Saturday, October 17, 2009

Surah A’basa dan Dakwah Inklusif

“Dia (Muhammad) berwajah masam dan berpaling. Kerana seorang buta telah datang kepadanya (Abdullah ibn Ummi Maktum). Dan tahukah engkau (Muhammad) barangkali dia ingin menyucikan dirinya (dari dosa). Atau dia (ingin) mendapatkan pengajaran yang memberi manfaat kepadanya?. Adapun orang yang merasa dirinya serba cukup (pembesar-pembesar Quraisy). Maka engkau (Muhammad)memberi perhatian kepadanya. Padahal tidak ada (cela) atasmu kalau dia tidak menyucikan diri (beriman). Dan adapun orang yang datang kepadamu dengan bersegera (untuk mendapatkan pengajaran). Sedang dia takut pada ALLAH. Engkau (Muhammad) malah mengabaikannya. Sekali-kali jangan (begitu)! Sungguh, (ajaran-ajaran ALLAH) itu satu peringatan.” 
A’basa: 1-11

Ingin sekali saya berpesan akan diri sendiri dan sahabat-sahabat semua sedikit potongan ayat dari surah A’basa yang mengisahkan bagaimana ALLAH menegur RASULULLAH apabila baginda seolah-olah tidak memandang golongan fakir-miskin dalam misi dakwah baginda dan hanya memberi tumpuan kepada para pembesar Quraisy sahaja dengan anggapan mereka mampu membantu baginda.

Cukup indah teguran ALLAH kepada kekasih-Nya, walaupun ternyata mesej teguran itu benar-benar menyentap hati baginda RASULULLAH apabila baginda menyedari akan kesilapan dirinya itu. Begitulah betapa lembutnya ALLAH SWT ketika menegur hamba-Nya yang melakukan kesilapan.

As-syahid Syed Qutb Rahimahullah dalam karya agungnya Tafsir Fi Zilal Quran menceritakan asbabun nuzul (sebab turun ayat) surah A’basa,

Abdullah Ibnu Ummi Maktum RA yang buta itu tidaklah dapat melihat Rasulullah s.a.w. yang memasamkan muka kepadanya semasa baginda asyik memberi tumpuan kepada golongan pembesar Arab Quraisy yang menjadi target back bone dalam menegakkan Daulah Islamiah di Madinah.

Rasulullah s.a.w. tidak silap dalam meletakkan aulawiyyat, memilih sasaran dakwah dalam kalangan mereka yang tegap ekonomi dan kuasa mereka, namun Allah tetap juga menegur baginda yang seolah terlupa kepada Abdullah Ibnu Ummi Maktum yang punya ketulusan hati untuk berjumpa dengan baginda.

Peristiwa ini tidaklah sebesar dan sehebat Badar al-Qubra atau Fathul Makkah atau Perjanjian Hudaibiyah, namun peristiwa ini telah memberi satu natijah besar kepada gerakan Islam secara umumnya. Tanpa selindung lagi, Rasulullah s.a.w. ditegur sebagai ingatan yang berkekalan buat diri baginda dan umatnya. Ingatan buat pengikut setia yang juga bakal meneruskan tugas dakwah kepada sesiapa sahaja tanpa mengira darjat dan kedudukan. Ternyata impak dari peristiwa ini cukup besar.

Peristiwa ini memberi petunjuk samada di sudut akhlak, pendekatan dan strategi dakwah dalam pembinaan ummah dan negara Islam itu sendiri.

Surah yang dirakam secara gentleman begitu rupa, zahirnya seolah bakal mencalar imej dan reputasi Rasulullah s.a.w. Namun pengajarannya itulah yang perlu dihirup sepenuhnya. Terutama kepada penerus risalah agung ini seperti pimpinan gerakan Islam mahupun pimpinan negara, wajar sekali membuat penelitian dalam mengambil kira sasaran dakwah tanpa memilih bulu.

Tiada siapa nafikan, “pendedahan berani” dalam surah ini begitu berat untuk ditanggung jika ianya berlaku kepada kita yang berjiwa kerdil ini. Ianya ditayangkan sepanjang zaman, dibaca sepanjang zaman dan diperdengarkan kepada orang ramai di sepanjang zaman.

Namun bagi Rasulullah s.a.w. yang berjiwa besar itu, sudah tentu baginda pasrah dan redha terhadap teguran Allah yang Maha Bijaksana lagi Maha Penyayang. Baginda sangat berkeyakinan Al-Quran itu tidak lain adalah pedoman kepada umat baginda jua.

Inilah juga bukti kasih sayang Allah taala yang saban hari terus menerus mengetuk hati nurani insan. Betapa perlunya bashirah atau celik hati nurani ini dibuka dan disingkap hijab nya untuk memahami, mengingati dan menyedarkan kita terhadap isi kandungan al-Quran.

Kenapa saya membawakan kisah surah A’basa pada kali ini?

Tidak ada niat lain selain untuk menilai balik diri ini dan sahabat akan tugas dan tanggungjawab kita sebagai ahli gerakan ISLAM agar sentiasa mengambil ibrah dan pengajaran daripada surah ini. Manakan tidak pabila peristiwa ini sering kali berlaku dalam kalangan pimpinan mahasiswa dan penggerak ISLAM di kampus-kampus walaupun dalam versi yang berbeza.

Kita melihat satu fenomena exclusivity berlaku pabila kita merasakan diri kita ini hanya layak berkawan dengan mereka yang THIQAH sahaja dan meninggalkan mereka yang masih tidak faham ISLAM itu terkontang-kanting. Inilah hakikat yang sering berlaku pada kita yang diberi taklifan oleh ALLAH untuk menjalankan amanah nya tetapi akibat ketidakfahaman kita sendiri menyebabkan amanah itu tidak mampu dijalankan dengan sebaiknya.

Fenomena “kita-kita” ini amat berbahaya memandangkan kesinambungan dakwah amat sukar dijalankan tanpa adanya sokongan dan penyertaan mad’u. Mungkin sesetengah kita menumpukan pada sesetengah golongan sahaja untuk menjalankan program pentarbiahan iaitu pada mereka yang pada kita THIQAH dan sesuai untuk ISLAM.

Dan pada masa yang sama kita melupakan satu golongan lagi insan yang tercari-carikan sumber untuk membimbing mereka. Mungkin pada kita mereka langsung tidak boleh mengharapkan sesuatu untuk perkembangan ISLAM namun kita sebenarnya lupa siapa perancang yang sebenar pada semua perkara ini.

Saya melihat proses pengambilan anak USRAH sering kali berlakunya perkara ini. Kita tidak memandang “AL-FAHMU” tetapi lebih memandang faktor “THIQAH” untuk pemilihan kita. Sedangkan tujuan kita adalah untuk membentuk kefahaman ISLAM dalam kalangan rakan-rakan kita tetapi kita tidak menyedari hakikat ini. Hal inilah yang saya ingin bawakan sebagai peringatan semula agar kita tidak lari dari matlamat yang sebenar.

Atau kita lebih suka memilih mereka yang berfikrah “PARTI” yang sama sebagai prasyarat utama untuk menjadi anak usrah kita?

Fikirkanlah sahabat-sahabat ku akan kemaslahatan ummah pada masa akan datang berbanding memikirkan keselesaan kita pada masa ini. Menulis akan hal ini seolah-olah membuka pekung di dada sendiri.

Manakan tidak bila mengenangkan kembali ketika di Matrikulasi dahulu satu kesilapan telah dilakukan di mana langsung tidak tahu bergaul dan bermuamalat dengan mereka yang pada kita tidak THIQAH. ALHAMDULILLAH pengalaman lepas banyak mengajar kita untuk menjadi lebih baik pada masa yang sekarang.

Jika Muslimat pula perlu kah kita memandang mereka yang bertudung labuh sahaja sebagai sasaran kita untuk berdakwah dan membiarkan mereka yang “free hair” umpama sampah yang tidak ada nilai langsung?

Ini baru berbicara tentang “orang-orang bawahan” sahaja. Belum lagi kita menilai adakah pimpinan gerakan mahasiswa ISLAM cukup mesra dan neutral dengan semua “orang”?

Satu persoalan pada kita semua di mana kita lebih menumpukan perhatian pada part yang kita rasa lebih penting sedangkan kita lupa mereka yang dinamakan grassroots amat penting terhadap kesinambungan dakwah kita. Mandat yang ALLAH berikan pada kita bukan eksklusif pada “kita-kita” sahaja tetapi ianya sepatutnya begitu meluas tanpa ada perbatasan faktor apa pun di antaranya.

Saya turut bimbang menegur perkara ini memandangkan umur baru setahun jagung tapi sudah pandai membebel tidak tentu pasal. Namun bagi saya peringatan itu luas bukan sekadar antara naqib kepada anak usrah nya atau abang kepada adiknya atau bapa kepada anaknya sahaja. Konsep ini sepatutnya turut berlaku antara adik menegur kesilapan abang-abangnya atau anak menegur kesilapan bapanya.

Ada kalangan teman-teman mahasiswa bertanya soalan yang kelihatan main-main tapi wajar juga dihisab kebenarannya, mengapa tuntutan untuk memenangi pilihanraya kampus lebih kuat pekikannya berbanding usaha bersungguh untuk membina dan membela generasi mahasiswa yang masih belum faham ISLAM yang sebenar?

Ya, itu pandangan mereka apabila mereka merasakan diri mereka terabai dan tidak ada pentarbiahan langsung terutama berada di alam kampus. Tetapi tugas dan tanggungjawab kita yang mengaku faham akan situasi ini sepatutnya menjadikan diri kita lebih rapat dengan mereka agar mereka tidak merasakan diri mereka disisihkan dan tidak diperlukan.

Masing-masing berhak memberi pandangan yang berbeza.

Apa pun pandangannya, jika ketidakpedulian sejenak Rasulullah SAW terhadap Abdullah Ibnu Ummi Maktum RA yang buta itu pun ditegur ALLAH SWT!

Apakah pimpinan gerakan mahasiswa Islam dan ahli gerakan mahasiswa islam yang mengabaikan rakan-rakan mereka tidak akan ditegur Allah taala di akhirat kelak?

TIDAK SALAH UNTUK KITA MUHASABAH DIRI