Thursday, August 13, 2009

Suara Suci Mahasiswa

Alhamdulillah walaupun terkejar-kejar petang tadi habis kelas pukul 6 tapi ALLAH masih lagi memberi kesempatan untuk menghadiri usrah yang diadakan di FSSK oleh Abg Farid, senior Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina. Sungguh, walaupun saya cuma sempat mendengar pengisian tak sampai 30 minit namun telah memberi kesan yang mendalam pada diri saya selaku seorang mahasiswa baru.

Antara perkara yang disentuh oleh Abg Farid ialah bagaimana para sahabat yang berani menyampaikan kebenaran walaupun baru sahaja memeluk Islam dan menunaikan perintah ALLAH tanpa kompromi sebagai contoh bagaimana para sahabat apabila mendengar perintah larangan arak terus memecahkan botol-botol arak di tangan masing-masing malah memuntahkan balik arak yang telah di minum itu.

Cuba bandingkan pula dengan diri kita, walaupun ketika program atau ceramah semangat membara-bara untuk membantu islam namun sekejap sahaja selepas tamat ceramah semangat itu terus hilang entah ke mana. Tambah-tambah bila mengenangkan cota-cota kayu FRU dan gas pemedih mata semangat kita terus menguncup bagaikan semalu dilanggar gajah.

Berbalik semula pada konsep kita sebagai seorang mahasiswa seharusnya semangat para sahabat ini patut ada dalam diri kita agar kita mampu meneruskan kelangsungan dakwah di muka bumi ini. Tegas Abg Farid tambah-tambah suara mahasiswa ini masih lagi suci kerana tidak mempunyai kepentingan pihak-pihak tertentu lagi.

Jadi sepatutnya kita merebut peluang ini untuk kehadapan mendepani segala isu masyarakat tidak kira walau apapun kedudukan kita. Saya teringat kata-kata Abg Idris, Presiden ISIUKM ketika dia mengadakan pertemuan dengan ahli-ahli baru ISIUKM,

“Seorang mahasiswa itu hebatnya terletak pada 4 penjuru utama iaitu 1st, mahasiswa adalah orang muda yang mempunyai fizikal yang matang, sihat dan kuat untuk berkhidmat pada agama dan masyarakat… 2nd, mahasiswa mempunyai cita-cita yang besar yang tentunya menjadi pemangkin kepada kemahuan untuk menuntut sebanyak mungkin ilmu pengetahuan bagi melengkapkan diri ke arah insan yang tinggi ilmunya... 3rd, mahasiswa merupakan aset penting kepada masyarakat yang mana di bahunya terpikul sejuta harapan terutamanya harapan ibu bapa dan agama… 4th, sudut mahasiswa yang terhebat ialah idealisme seorang mahasiswa itu sendiri dalam mendepani isu-isu rakyat dan menjadi sumber check and balance bagi sesuatu isu yang melanda masyarakat serta menjadi agent of change dalam masyarakat keseluruhannya” 
Ustaz Idris, Presiden ISIUKM 09-10

Jadi tidak hairanlah jika banyak pihak lebih suka menjadikan mahasiswa sebagai sumber rujukan utama mereka dalam menjalankan pelbagai kajian dan pelantar utama mereka dalam sesebuah isu seperti isu PPSMI.

Namun dalam meniti situasi begini timbul pula istilah MAHASISWA LESU yang menggambarkan ketidakcaknaan para mahasiswa kini terhadap isu-isu terkini.

Mengapa ini boleh berlaku?

Salah siapa? Kementerian Pengajian Tinggi kah? Ibu bapakah? Pengurusan universiti ke? PMUKM kah?

Pelbagai soalan bermain diminda kita apabila menyentuh isu ini. Itulah yang menjadi persoalan utama pada kita sekarang ini. Mungkin kita patut merindui zaman kebangkitan mahasiswa lewat 60-an hingga lewat 80-an yang berjaya melahirkan tokoh masyarakat seperti Anwar Ibrahim, Ustaz Idris Ahmad, Hisyamudin Rais, Saifuddin Nasution dan ramai lagi.

Itu baru kita melilau di Malaysia, belum lagi kita menyorot kebangkitan mahasiswa di negara luar yang menghasilkan sebuah revolusi dan menggulingkan pemerintah ketika itu. Kita lihat bagaimana kebangkitan mahasiswa islam di Algeria melalui Front Islamic Salvation (FIS) yang akhirnya menggulingkan kerajaan diktator yang menjadi kuda tunggangan Perancis melalui pilihanraya.

Kita lihat juga kebangkitan mahasiswa di Russia dalam Revolusi Bolsevik akhirnya berjaya menumbangkan rejim komunis di sana. Kita lihat pula bagaimana mahasiswa di China yang diketui oleh Mou Tzi Tong berjaya menumbangkan diktator ketika itu.

Jiran terdekat kita, Indonesia menyaksikan kebangkitan mahasiswa menentang Belanda yang diketui Sukarno berjaya menuntut kemerdekaan dalam keadaan bermaruah. Iitulah sedikit coretan dan sorotan sejarah kebangkitan mahasiswa di dunia ini.

Saya tertanya pada diri sendiri bila lagi saya mampu menjadi seperti mereka dalam mengetuai kebangkitan mahasiwa menentang pelbagai kezaliman di Malaysia ini.

Insya ALLAH, moga ALLAH memberi kekuatan pada kita untuk kita berhijrah mengubah diri kita dan moga-moga kita dapat mengubah masyarakat di sekeliling kita.

This is a TIME TO CHANGE.

Masanya sudah tiba untuk kita mengimplementasikan sirah Rasulullah dan sahabat bagi menguatkan lagi roh perjuangan kita. Menjadi seorang mahasiswa merupakan satu anugerah ALLAH pada kita untuk kita meningkatkan keupayaan kita agar kita mampu menghadapi segala mehnah dan tribulasi pabila kita tercampak ditengah-tengah masyarakat nanti.

Wallahualam.