Friday, August 7, 2009

Namanya Islam Namun Jiwanya Athies

Pernah kah kita mendengar frasa di atas ?

Inilah yang berlaku pada diri kita dalam keadaan kita langsung tidak menyedarinya. Saya bukanlah seorang yang patut membicarakan hal ini tetapi mengenangkan akan diri yang selalu tertewas dek nafsu dan iblis, terpanggil untuk mencoret secebis catatan hina moga ALLAH SWT memberkatinya.

Saya nak berkongsi satu cerita sebelum mengorak dengan lebih jauh lagi dalam catatan ini iaitu cerita seorang tok guru dengan 2 orang anak muridnya. Senior dan junior.

Alkisah nya bermula pabila anak murid senior mendapati tok gurunya lebih kasihkan junior berbanding dirinya. Pada suatu hari ketika mereka bertiga duduk bersama, si senior pun bertanya pada gurunya akan kenapa dia tidak mendapat kasih sama macam junior nya.

Gurunya tersenyum sambil berkata, “Wahai anak murid ku, sebelum aku menjawab soalan itu aku mahu kalian menyelesaikan tugasan yang akan aku berikan ini terlebih dahulu. Kemudian aku akan jawab soalan itu.”

Serentak anak muridnya bertanyakan apakah tugasannya. Tok guru menjawab, “Aku akan bagi pada kamu ayam seekor seorang dan aku nak kamu pergi sembelih ayam itu di tempat di mana tidak ada sesuatu pun melihatnya. Petang nanti bawa kepada aku ayam yang telah siap di sembelih itu.”

Lalu kedua dua anak muridnya pergi mencari tempat untuk menyembelih ayam sambil memastikan tidak ada seekor makhluk ALLAH pun melihat mereka. Apabila petang menjelma kembalilah kedua-dua murid itu dengan memegang ayam masing-masing. Tok guru pun datang untuk memeriksa ayam yang telah disembelih itu. Dia mendapati murid junior nya tidak melaksanakan tugasan yang diberinya itu.

Lalu dia segera bertanya pada anak muridnya itu, “Wahai murid ku kenapa kau tidak menyembelih ayam itu sebagaimana aku suruh?”

Jawab anak muridnya yang muda itu, “Wahai guru ku, sesungguhnya aku tidak menyembelih ayam ini kerana aku tidak menjumpai walau satu tempat pun yang mampu menghalang penglihatan ALLAH atas perbuatan ku sedangkan kau mensyaratkan agar ayam itu disembelih di tempat yang langsung tidak mampu di lihat oleh satu apa pun.”

Lantas tok guru tadi tersenyum mendengar jawapan muridnya itu lalu berkata pada murid seniornya, “Nah sekarang aku telah memberi jawapan kepada soalan mu tadi kenapa aku lebih kasihkan junior mu berbanding diri mu.”

Murid senior terdiam dan sedar akan kesilapannya selama ini lantaran apa yang terjadi tadi.

Nah, sekarang di sisi manakah kita berada?

Seperti murid senior kah atau murid junior?

Inilah yang di maksudkan ana betapa dalam kita merasakan diri kita ini sudah cukup Islam tetapi banyak masa dan ketika kita langsung tidak menyedari kewujudan ALLAH bahkan walaupun kita tahu ALLAH melihat segala perbuatan tetapi kita langsung tidak merasa takut untuk membuat mungkar terhadapnya.

Ya, betapa malangnya hidup kita seharian jika kita terus buta dan tidak menyedari penyelewengan yang telah kita buat itu.

Mungkin inilah masa untuk kita merenung kembali firman ALLAH dalam surah Al-Anfal ayat 2 yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman adalah mereka yang apabila disebut nama ALLAH gementar hatinya dan apabila dibacakan ayat ayat-nya kepada mereka, bertambah kuat imannya dan hanya pada tuhan mereka bertawakal.”

Cuba kita bandingkan keadaan orang yang disebutkan ALLAH dalam ayat tadi dengan diri kita.

Adakah kita mempunyai ciri-ciri tersebut?

Masya ALLAH. Nauzubillah, jauh sekali.

Jauh sekali.

Betapa jauhnya diri kita terutama diri pencatat yang hina ini dengan ALLAH SWT.

Kita tak lekang waktu solat. Kita tak tinggal berjemaah di masjid. Kita tak miss puasa sunat. Kita sentiasa berdoa mohon hidayah. Tapi mengapa kita terus leka dalam kemaksiatan lain?

Ya ALLAH bagi lah petunjuk pada hamba-Mu ini. Tetapkan lah hati hamba-Mu ini dalam agama mu ya ALLAH. Sesungguhnya hamba-Mu ini jauh tersesat dalam dunia yang penuh kejam ini.

Sesungguhnya aku mencatat ini hanya mengharapkan REDHA MU YA ALLAH. AMPUNKANLAH HAMBA MU INI YA ALLAH.