Saturday, August 22, 2009

Andai Ku Tahu ini Ramaḍān Yang Terakhir

“Sesiapa yang puasa di bulan Ramadan, kerana iman dan mengharapkan ganjaran, maka diampuni dosa-dosa yang telah lalu” 
(Hadis riwayat Muttafaq ‘alaih)

Alhamdulillah ALLAH masih lagi memberi peluang dan ruang pada kita sebagai hamba-Nya menerokai sekali lagi bulan yang penuh barakah ini yakni RAMADAN. Saya menerima beberapa mesej dari sahabat-sahabat seperjuangan mengingatkan akan kelebihan dan untungnya kita dipilih ALLAH sekali lagi menjadi tetamu Ramadan 1430H berbanding segolongan manusia yang ALLAH menutup hatinya terhadap nikmat ini.

Kita sering berbicara akan kelebihan Ramadan terutama tibanya bulan tersebut sedangkan kita lupa akan kemiskinan iman kita dalam mempersiapkan diri menghadapi Ramadan. Oleh itu saya menyeru pada diri sendiri dan para sahabat agar kita sentiasa menilai iman kita adakah cukup mantap untuk diuji ALLAH sepanjang Ramadan.

Maksud saya bukanlah ujian tak makan dan minum tetapi ujian bagaimana nak dapatkan puasa rohani dan jasmani. Bukan sekadar menahan lapar dan dahaga atau bukan sekadar melabur duit di bazar-bazar Ramadan. Bukan sekadar menghadiri majlis berbuka puasa, tetapi puasa yang sebenar adalah sejauh mana kita mampu melawan anak didik syaitan yang sentiasa menjadi pembantu kanan syaitan serta telah dididik selama 9 bulan sebelum syaitan dirantai.

Mampu atau tidak itulah persoalan kita sebenarnya. Saya teringat kata-kata seorang sahabat ana ketika di matrikulasi dulu, katanya, “Berjaya atau tidak kita di bulan Ramadan adalah bergantung pada sejauh mana hebatnya amalan kita di luar bulan Ramadan.”

Lumrahnya, kita sering lupa akan hakikat ini. Pada kita Quran hanya perlu khatam pada bulan Ramadan. Tahajjud hanya 10 malam terakhir Ramadan. Jaga mata, jaga hati hanya di bulan Ramadan. Berjemaah di masjid pada solat Isya’ hanya di bulan Ramadan.

Ini mind-set yang telah berjaya di set-up secara tetap dalam diri kita. Saya mengajak sahabat-sahabat berfikir kalau inilah bentuk amalan kita adakah kita mampu menjadikan Ramadan itu sebagai madrasah tarbiah untuk diri kita?

Bagaimana pula cita-cita LAILATUL QADAR?

Ya ALLAH inilah rupa sebenar kami yang begitu fasiq. Kami hanya pandai berbicara, hanya pandai bercita-cita sedangkan kami langsung tidak mempunyai kesungguhan pada-Mu ya ALLAH.

Saya menulis begini bukan bermaksud kita tidak perlu beramal pada bulan RAMADHAN ini. Jadikan ia sebagai satu peluang untuk kita memperbaiki diri kita yang telah rosak teruk. Cuma kadang-kadang kita alpa akan hakikat ini. Samalah juga FENOMENA biasa dalam masyarakat kita iaitu terlalu mementingkan yang sunat sedangkan yang wajib terabai.

Sahabat-sahabat faham?

Pernah tak kita mendengar dialog ini, “Eh, engkau tak pergi ke tarawih tadi? Kenapa dengan engkau ni…” Bagus saya ucapkan pada sahabat yang mengingatkan akan solat SUNAT tarawih yang memberi makna kita ini orang yang kuat beribadat kerana tarawih itu 8 rakaat. Tapi malangnya kita tak mendengar dialog seperti ini,

“Kenapa tak bangun subuh tadi? Dah kejutkan berkali-kali. Kenapa dengan engkau ini? Nak jadi apa?”

Atau dialog begini,

“Eh, esok pagi kejutkan aku sekali nak SAHUR”

Sahur yang dia ingat? Subuh di mana?

Pernah tak kita dengar dialog semacam ini?

Kenapa kita bersemangat melakukan yang sunat sedangkan yang wajib berciciran. Bukan salah melakukan ibadat sunat tapi kalau yang wajib tak terlaksana apa nasibnya. Kenapa di luar Ramadan kita liat sangat-sangat nak bangun subuh?

Atau stay lama sedikit di masjid buat solat sunat lepas Isya’? Sebenarnya benda ini langsung tak pelik kerana seperti yang ana katakan tadi kita menyambut Ramadan dalam keadaan iman kita tidak bersedia.

Sebab itu la ada sahabat-sahabat kita yang bangun sahur tetapi terus tidur tanpa solat subuh dahulu atau berpuasa tapi langsung tak jaga solat fardhu 5 waktu sehari semalam.

Atau berpuasa tetapi still keluar dating dengan kekasih masing-masing.

Atau berpuasa tetapi tak mampu berpuasa dari mengumpat, memfitnah dan menyakiti orang lain.

Atau berpuasa tetapi aurat terus tak terjaga.

Atau berpuasa sedangkan KITA LANGSUNG TAK TAHU APA MAKNA KITA MELAKUKAN IBADAT ITU SENDIRI!

Inilah yang sering berlaku pada diri sendiri moga-moga ALLAH memberi keampunan pada kita semua.

Bila membicarakan topik ini terasa begitu hina apatah lagi mengenangkan betapa apa yang disebutkan di atas semuanya bagaikan memulangkan buah keras ke atas kepala sendiri. Saya cuma sebagai sahabat yang ingin berkongsi pandangan dan nasihat bersesuaian dengan konsep “Berpesan-pesanlah kamu ke arah kebenaran, berpesan-pesanlah kamu ke arah kesabaran.”

Insya ALLAH moga-moga ALLAH menerima semua amalan kita selama ini dan sentiasa mendapat keampunan-Nya. Di sini saya ingin berkongsi e-mel yang saya terima dari seorang sahabat semalam yang mengingatkan diri sendiri akan tugas serta tanggung jawab untuk menjadikan Ramadan kali ini bagaikan yang terakhir dalam hidup saya,

Andai Ini Ramadan Yang Terakhir


Wahai insan, renung lah engkau akan nasib diri
Wahai kalbu, sedarkah engkau akan gerak hati
Wahai akal, terfikir kah engkau akan apa yang bakal terjadi
Andai ini merupakan Ramadan ku yang terakhir kali
Buat ku sekujur jasad yang bakal berlalu pergi
Tatkala usia bernoktah di penghujung kehidupan duniawi
Pabila tiba saat tepat seperti yang di janji Ilahi
Kematian, adalah sesuatu yang pasti…
Andai ku tahu ini Ramadan terakhir
Tentu siangnya aku sibuk berzikir
“A’la bizikrillahi tatmainnal qulub”
[Bukankah dengan berzikir itu hati akan menjadi tenang]
Biarpun anak tekakku kering kehausan air
Tentu aku tak akan jemu melagukan syair
Rindu mendayu..
Merayu…
Kepada-NYA Tuhanku yang satu…
Andai aku tahu ini Ramadan terakhir
Tentu solat ku dikerjakan di awal waktu
Solat yang dikerjakan
Sungguh khusyuk lagi tawaduk
Tubuh, minda, dan kalbu…bersatu memperhamba diri
Mengadap Rabbul Jalil…
Menangisi kecurangan janji
“Innasholati wanusuki wamahyaya wamamati lillahi rabbil ‘alamin”
[sesungguhnya solat ku, ibadah ku, hidup ku, dan mati ku diserahkan hanya kepada Allah Tuhan seru sekalian alam]
Andai aku tahu ini Ramadan terakhir
Tidak akan aku persiakan walau sesaat yang berlalu
Setiap masa tak akan dipersia begitu saja
Di setiap kesempatan juga masa yang terluang
Alunan Al-Quran bakal ku dendang, bakal ku syair kan
Andai ku tahu ini Ramadan terakhir
Tentu malam-Mu aku sibukkan dengan
Bertarawih…
Ber Qiamullail…
Bertahajjud…
Mengadu…
Merintih…
Meminta belas kasih….
“sesungguhnya aku tidak layak untuk ke syurga-MU tapi…
aku juga tidak sanggup untuk ke neraka-MU”
Oleh itu duhai Ilahi…
Kasihanilah daku hamba-MU yang…
Hina..
Daif..
Jahil..
Lagi Banyak Dosa ini..
Menikmati bulan yang dirindu oleh nabi dan sahabat-Nya..
Moga setiap langkah ku zuhud kepada MU..
Moga ku istiqamah di Ramadan ini..
ANDAI AKU TAHU INI RAMADAN TERAKHIR…

Moga-moga bingkisan kecil ini mampu menjadi pedoman buat diri sendiri dan sahabat-sahabat dalam mengharungi Ramadan kali ini dengan penuh iltizam dan natijah yang baru. Insya ALLAH.